SINGAPURA: Sebahagian besar pantai di Pulau Sentosa, Singapura ditutup sehingga diberitahu kelak, selepas tumpahan minyak merebak dari Terminal Pasir Panjang berhampiran destinasi peranginan di selatan republik ini.
Penutupan itu melibatkan dari kawasan B hingga kawasan H di East Coast Park, termasuk jeti dan pantai berbatu di Rangkaian Taman Alam Semula Jadi Labrador, yang ditutup sejak Sabtu.
Perkara itu dimaklumkan Pihak Berkuasa Maritim dan Pelabuhan (MPA), Agensi Alam Sekitar Negara (NEA), Lembaga Taman Negara (NParks) dan Perbadanan Pembangunan Sentosa (SDC) dalam kemas kini pada Ahad.
Bagaimanapun, pantai Tanjong, Palawan dan Siloso di Sentosa kekal dibuka kepada orang ramai, namun aktiviti laut serta berenang tidak dibenarkan.
Tiada kesan tumpahan minyak di dalam Sisters’ Islands Marine Park, tetapi ia kelihatan di perairan sekitarnya.
Tumpahan minyak merebak akibat insiden pada Jumaat di Terminal Pasir Panjang, selepas sebuah kapal korek yang berdaftar di Belanda dilaporkan melanggar kapal tangki Singapura, yang tidak bergerak.
Insiden menyebabkan sebahagian minyak dari tangki kargo yang mengalami kerosakan pada kapal bunker tumpah ke laut.
Lebih 250 kakitangan termasuk 50 pegawai NParks dan pekerja kebersihan dikerahkan untuk menyokong usaha pembersihan pantai terjejas.
Terdapat lebih 1,500 pendaftaran orang ramai yang ingin membantu, namun NParks berkata, ia akan mengaktifkan sukarelawan jika banyak bantuan diperlukan.
“Demi keselamatan, sukarelawan tidak akan dikerahkan untuk kerja-kerja pembersihan pantai,” kata pihak berkuasa.
Beberapa sukarelawan turut ditempatkan untuk memantau keadaan di West Coast Park dan memberi memaklumkan kepada pihak berkuasa sekiranya terdapat kesan tumpahan minyak.
Namun, pihaknya tidak melihat sebarang kesan tumpahan minyak di kawasan itu.- CNA










