PETALING JAYA: Kerajaan perlu segera melaksanakan skim gaji untuk guru pendidikan kelas al-Quran dan fardu ain (KAFA) bagi memastikan sistem pendidikan tersebut kekal utuh.
Presiden Kesatuan Kebangsaan Guru-Guru Agama Malaysia Barat (KKGAMB), Mohd. Azizee Hasan berkata, guru KAFA sejak dahulu lagi tidak dibayar gaji tetapi elaun sahaja.
Kata beliau, guru KAFA sepenuh masa hanya menerima elaun sekitar RM1,000, berbeza dengan guru di sekolah kebangsaan yang menikmati skim gaji penjawat awam.
Jelasnya, beliau bersetuju untuk sistem pendidikan KAFA menjadi lebih dinamik dan diberi nafas baharu.
“Nasib guru KAFA perlu diangkat martabat dan kualiti mereka terutama dalam soal kebajikan, kesihatan, cuti bersalin dan sebagainya. Ini kerana mereka juga menyumbang kepada pendidikan negara terutama memperkasa pendidikan Islam rendah.
“Jadi, perlu lihat secara holistik dan terperinci jika ingin memperkasakan sistem pendidikan. Ini perlu mengambil kira faktor waktu bekerja, kelayakan dilantik menjadi guru serta kualiti sebagai guru KAFA,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Terdahulu, kerajaan menegaskan sistem pendidikan KAFA mesti sentiasa dinamik, progresif dan bersedia melalui proses perubahan seiring peredaran zaman.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, peranan pendidikan KAFA sangat relevan dalam mendukung aspirasi pendidikan negara ke arah melahirkan modal insan berakhlak tinggi.
Elaun guru KAFA dibayar oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) lalu menyebabkan kadar elaun yang berbeza- beza antara negeri diterima guru KAFA seluruh negara.
Mohd. Azizee berkata, disebabkan itu perlu ada penyelarasan antara Jakim dan Kementerian Pendidikan bagi melaksanakan skim gaji untuk guru KAFA.
“Kita boleh lihat pada model kerajaan negeri Johor dan kerajaan negeri Selangor untuk dijadikan kaedah menambah baik sistem pendidikan KAFA,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Penasihat KKGAMB, Muhd. Fadhli Jusoh mempersoalkan tindakan kerajaan tidak berbelanja untuk kebajikan guru KAFA.
Katanya, sudah tiba masa kerajaan mencari jawapan dan bukan lagi alasan bagi mengatasi isu dihadapi guru KAFA sejak sekian lama.
“Apabila bincang tentang skim gaji guru KAFA, ia dipersoalkan kerana kelulusannya. Jadi, buatlah satu sistem yang berbeza-beza dalam skim tersebut.
“Sebagai contoh, sekiranya guru itu berpengalaman, mereka memenuhi tanggungjawab dan keperluan sistem pendidikan negara, maka kita perlu mengiktiraf mereka.
“Tetapi bagi generasi baharu, pasca Madani pula, kita gunakan sistem masa kini. Kita boleh tetapkan mengikut kriteria,” jelasnya.
Tambahnya, guru KAFA turut berhadapan dengan situasi yang sama seperti guru sekolah kebangsaan, iaitu antaranya perlu mengeluarkan duit sendiri untuk memberi bahan pengajaran kepada pelajar disebabkan tiada peruntukan disediakan.
Oleh kerana itu tegasnya, skim gaji untuk guru KAFA tidak sepatutnya menjadi pertikaian pelbagai pihak memandangkan ia merupakan satu bentuk keperluan bagi pendidikan negara dan agama Islam.
Beliau turut mencadangkan kepada kerajaan untuk mula melatih guru KAFA di Institut Pendidikan Guru (IPG) bagi mengasah kemahiran mereka untuk mencapai keinginan kerajaan yang mahu sistem pendidikan itu kekal dinamik.
“Seperti apa yang kerajaan negeri Selangor buat, mereka hantar guru KAFA untuk mengikuti kursus yang sama dengan kursus Pendidikan Islam.
“Ini maknanya Kerajaan Persekutuan juga boleh membuat perkara sama memandangkan ia sudah dilakukan oleh kerajaan negeri. Ini antara mahu atau tidak sahaja,” katanya. – UTUSAN











