KOTA BHARU: Regles FC menyekat impian Media Kelate FC untuk menjulang kejuaraan sulung Piala KB City apabila tewas 2-3 menerusi penentuan sepakan penalti pada perlawanan akhir di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini malam tadi.
Terdahulu, pada perlawanan berkenaan, Media Kelate FC lebih dahulu membuat kejutan dan membuka jaringan melalui jaringan Mohd. Faisal Ibrahim pada minit ke-24 sebelum Muhammad Fahmi menjaringkan gol penyamaan Regles FC pada minit ke-32.
Keputusan 1-1 kekal sehingga ke tiupan wisel penamat perlawanan menyaksikan sepakan penalti menjadi penentu kepada kejuaraan tersebut.
Media Kelate FC bagaimanapun tidak pulang dengan tangan kosong apabila Mohd. Faisal dinobatkan sebagai penjaring terbanyak dengan enam gol sepanjang liga manakala penjaga golnya, Mohd. Hafiz Asyraf Ismail muncul pemain terbaik perlawanan akhir.
Sementara itu, ketua pasukan Media Kelate FC, Muhd. Fikri Mat Zaib menerima secara terbuka dan berlapang dada keputusan tersebut.
Katanya, dia mahu Media Kelate FC kembali dengan lebih baik pada masa hadapan dalam usaha memburu kejuaraan.
“Kami telah memberikan 100 peratus di atas padang malam ini (malam tadi) cuma kurang bernasib baik apabila sepakan penalti menjadi penentu. Bukan rezeki kami untuk bergelar juara.
“Tahniah kepada Regles yang juga telah memberikan persembahan terbaik,” ujarnya.-UTUSAN










