SABAK BERNAM: Masyarakat India di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabak kesal apabila mendakwa hanya lima penduduk disenaraikan menerima baucar Back to School daripada Pusat Khidmat Masyarakat DUN itu, baru-baru ini.
Wakil penduduk, V. Puvanasanthy, 37, berkata, pengagihan bantuan inisiatif kerajaan Selangor itu disifatkan tidak adil kepada kaum itu yang kebanyakkannya golongan B40 dan miskin tegar.
“Sebanyak 300 baucar bernilai RM100 telah diagihkan kepada penduduk, namun jumlah penerima kaum India amat sedikit.
“Tahun lalu kami menerima 50 baucar itu, namun kenapa kali ini hanya lima diberikan dan mana baki selebihnya,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.
Jelasnya, rata-rata mereka berpendapatan rendah malah ada yang turut bergantung dengan wang perbelanjaan daripada anak.
“Harga barang dan kos sara hidup memberi kesan pada sosioekonomi kami apatah lagi peluang pekerjaan di kawasan ini tidak banyak. Menerusi bantuan itu sekurang-kurangnya membantu meringankan beban penduduk,” ujarnya.
Sementara itu, seorang warga emas, G. Muniandy, 62, memberitahu, dia antara penerima sumbangan baucar itu tahun lalu, namun namanya tercicir kali ini.
“Keadaan kesihatan saya tidak menentu dan hanya mengharapkan bantuan daripada dua anak bagi kelangsungan hidup.
“Saya menjaga dua cucu yang masih bersekolah kerana ibu bapa mereka bekerja di ladang dan bantuan baucar itu dapat menampung perbelanjaan membeli pakaian dan kelengkapan sekolah mereka,” luahnya.
Sementara itu, Penyelaras DUN Sabak, Samad Hashim berkata, pihaknya mengakui kelemahan pengurusan yang baru sahaja beroperasi selepas menerima lantikan daripada kerajaan negeri.
“Kami mendapat arahan mengagihkan kupon baucar itu pada 19 Februari lalu sebelum melaksanakannya awal bulan ini.
“Kami akan menganjurkan program bantuan khusus kepada kaum India dan akan mendapatkan senarai nama daripada ketua komuniti bagi pelaksanaannya dalam tempoh terdekat,” jelasnya. – UTUSAN











