KUALA LUMPUR: Terpedaya dengan tawaran kerja yang diiklankan secara dalam talian, seorang lelaki dipercayai menjadi mangsa sindiket pemerdaganngan orang di Myanmar.
Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim berkata, lelaki berusia 27 tahun itu telah terpengaruh dengan kerja yang ditawarkan untuk datang ke Kuala Lumpur.
Menurutnya, mangsa yang dipercayai sudah berada di Myanmar telah menghubungi keluarganya memaklumkan dia kini berada di Thailand dan tidak dapat pulang
“Mangsa juga memaklumkan dipaksa untuk bekerja dalam tempoh satu tahun, sekiranya dia ingin pulang awal, ahli keluarga perlu membayar wang tebusan sebanyak (RM117,450).
“MHO telah memberi nasihat kepada keluarga mangsa untuk tidak membuat sebarang pembayaran yang diminta kerana wang tersebut akan disalurkan ke akaun kripto.
“Kita percaya sekiranya bayaran ini dibuat, keluarga mangsa akan ditipu sekali lagi kerana sindiket tidak akan melepaskan mangsa,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.
Dalam pada itu, ibu mangsa, Ong Lay Keow, 56, berkata, dia membuat laporan polis pertama memaklumkan telah menghantar anaknya ke bas stesen di Penang Sentral untuk ke Kuala Lumpur sekitar 11.45 malam pada 29 Mei lalu.
Sementara itu, adik kembar perempuan mangsa, Hooi Siew Wen, 27, berkata, dia membuat laporan polis kedua pada 4 Jun lalu. – UTUSAN










