RAMALLAH: Palestin menuntut sidang tergempar Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk membincangkan insiden pembunuhan beramai-ramai yang dilakukan tentera Israel di kem pelarian Nuseirat, tengah Gaza semalam.
Presidennya, Mahmoud Abbas mengarahkan utusan Palestin ke PBB untuk meminta sidang tergempar Majlis Keselamatan bagi membincangkan serangan dahsyat yang membunuh 210 orang itu.
Kenyataan Abbas dibuat selepas Israel mengebom dan menceroboh ke dalam kes pelarian Nuseirat serta kawasan lain di Gaza yang turut menyebabkan lebih 400 lain cedera.
Abbas terlibat dalam komunikasi intensif dengan pihak Arab Saudi dan antarabangsa yang berkaitan untuk mengadakan sesi mendesak Majlis Keselamatan PBB ini, lapor agensi Wafa.
Abbas menekankan keperluan mendesak campur tangan antarabangsa untuk menghentikan bencana kemanusiaan di Gaza, Tebing Barat dan Baitulmuqaddis Timur.
Beliau menegaskan Israel terus mengeksploitasi sikap membisu dunia dan sokongan Amerika Syarikat (AS) untuk melakukan jenayah yang melanggar semua resolusi dan undang-undang antarabangsa.
Menurut saksi, kenderaan tentera Israel secara tiba-tiba mara ke kawasan timur dan barat kem Nuseirat, selari dengan pengeboman artileri berat yang menyasarkan kawasan kem itu.










