WASHINGTON: Seorang wanita berusia 105 tahun menerima Ijazah Sarjana di Stanford Graduate School of Education (SGE), selepas 83 tahun meninggalkan pengajian akibat Perang Dunia II.
Virgia Ginnie Hislop mengikuti pengajian dalam bidang pendidikan di Stanford pada sekitar tahun 1940-an.
Sebelum dia sempat menyerahkan tesis sarjananya, Perang Dunia II meletus sehingga menjejaskan rancangannya untuk menamatkan pengajian.
Teman lelakinya ketika itu, George Hislop dipanggil untuk berkhidmat dalam perang, mendorong Ginnie menangguhkan pengajian dan berkahwin.
Akhirnya, dia membantu dalam usaha perang dan memberikan tumpuan membesarkan keluarga.
Ginnie yang menetap di Washington melayari kehidupan bahagia bersama dua anak, empat cucu dan sembilan cicit.
Sepanjang tempoh itu, dia juga berkhidmat di lembaga sekolah tempatan dan mempengerusikan Lembaga Pengarah Sekolah Yukima serta pengasas Kolej Komuniti Yukima selama beberapa dekad.
Dalam tempoh itu, Stanford menggugurkan kelayakan tesisnya dan Ginnie Hislop akhirnya kembali ke kampus itu untuk menamatkan pengajian yang tertangguh.
“Saya telah melakukan perkara ini selama bertahun-tahun dan sangat gembira menggenggam ijazah ini,” katanya pada majlis konvokesyen, Ahad lalu.- AGENSI










