Menteri Kabinet Perang Israel letak jawatan

Menteri Kabinet Perang Israel letak jawatan

BENNY Gantz mengumumkan pengunduran daripada kerajaan darurat Netanyahu pada Ahad.- REUTERS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEL AVIV: Menteri Kabinet Perang Israel, Benny Gantz mengumumkan pengundurannya daripada kerajaan darurat Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu pada Ahad, di tengah-tengah serangan berterusan terhadap Gaza.

Gantz mengumumkan peletakan jawatan itu dibuat dengan ‘hati yang berat’ menerusi sidang akhbar. 

“Netanyahu menghalang kami daripada mara ke arah kemenangan sebenar, itulah sebabnya kami meninggalkan kerajaan darurat hari ini,” katanya.

Pada masa sama, Gantz turut menuntut Netanyahu untuk menetapkan tarikh pilihan raya.

“Saya menyeru Netanyahu tetapkan tarikh pilihan raya yang dipersetujui. Jangan biarkan rakyat kita berpecah belah,” katanya.

Bulan lalu, Gantz mengancam untuk meninggalkan kerajaan darurat yang dibentuk tahun lalu jika Netanyahu gagal membentangkan rancangan pasca perang untuk wilayah Palestin.

Pengunduran Gantz didakwa tidak akan menimbulkan ancaman kepada kerajaan Netanyahu, namun masih boleh memberi impak serius terhadap situasi perang Gaza dan kemungkinan peningkatan pertempuran dengan Hezbollah.

Dalam reaksi terhadap keputusan Gantz itu, Netanyahu menerusi hantaran dalam media sosial memberitahu bekas anggota Kabinetnya ketika ini bukan masa untuk meninggalkan medan perang.

Tanpa Gantz, Netanyahu sebenarnya akan kehilangan sokongan blok tengah yang membantu meluaskan dukungan kepada kerajaannya di Israel dan di luar negara, selain terpaksa berdepan tekanan diplomatik serta domestik kerana perang Gaza.

Walaupun Netanyahu masih memegang majoriti selesa 64 daripada 120 kerusi dalam Knesset, perkembangan ini akan meminggirkan Perdana Menteri dan mendedahkan perpecahan politik mendalam mengenai caranya mengendalikan peperangan.

Gantz turut menggesa Menteri Pertahanan, Yoav Gallant meletakkan jawatan daripada kerajaan Netanyahu.

“Menteri Pertahanan, kamu seorang pemimpin yang berani dan tegas, lebih-lebih lagi seorang patriot. Pada masa ini, kepemimpinan dan keberanian bermakna bukan sahaja berkata apa yang benar, tetapi melakukan apa yang benar,” katanya.

Bukan hanya Gantz, pemerhati Kabinet Perang, Gadi Eisenkot turut mengikut langkah sama meninggalkan badan itu dengan hanya tiga anggota.

Sejurus pengumuman itu, Menteri Keselamatan Negara sayap kanan, Itamar Ben-Gvir menuntut kedudukan dalam Kabinet Perang.- REUTERS

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN