Mangsa serangan Israel makin meningkat, jumlah kematian

Mangsa serangan Israel makin meningkat, jumlah kematian cecah 37,084

SERANGAN berterusan Israel di Gaza turut mengakibatkan 84,494 rakyat Palestin cedera.-AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAZA: Jumlah rakyat Palestin yang terbunuh dalam serangan bertali arus oleh tentera Israel di Gaza meningkat kepada 37,084 sejak perang tercetus pada Oktober lalu, kata Kementerian Kesihatan. 

Peperangan tanpa henti selama lapan bulan itu turut menyebabkan 84,494 yang lain cedera, kata kementerian itu dalam kenyataan.

“Pasukan penceroboh Israel melakukan lapan pembunuhan beramai-ramai terhadap keluarga di Gaza, mengakibatkan 283 terkorban dan 814 yang lain cedera dalam tempoh 24 jam,” katanya semalam. 

Kementerian melaporkan, angka kematian pembunuhan beramai-ramai Israel terhadap rakyat Palestin di kem pelarian Nuseirat pada Sabtu meningkat kepada 274, manakala 698 yang lain cedera termasuk kritikal.

“Sebahagian mangsa masih berada di bawah runtuhan dan di jalan raya kerana ambulans serta pasukan pertahanan awam tidak dapat akses ke lokasi kejadian,” katanya.

Sementara itu, tentera Israel turut mendakwa berjaya menyelamatkan empat tebusannya dalam serangan maut di kem berkenaan.

Israel masih meneruskan serangan kejamnya di Gaza walaupun resolusi Majlis Keselamatan PBB menuntut gencatan senjata segera dilakukan.

Wilayah terkepung itu semakin lumpuh sejak lapan bulan perang, apatah lagi di tengah-tengah kekurangan makanan, air bersih dan ubat-ubatan.

Israel dituduh melakukan pembunuhan beramai-ramai di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), dalam keputusan terkini yang mengarahkan Tel Aviv menghentikan serta-merta operasi di bandar Rafah, tempat perlindungan terakhir lebih sejuta rakyat Palestin.- AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN