PETALING JAYA: Penutupan pintu sempadan Rafah (Lintasan Rafah) menyebabkan lebih daripada 2,000 lori bantuan bekalan makanan terkandas dan terpaksa menunggu giliran untuk masuk ke Rafah.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Sekretariat Induk Ops Ihsan, Jismi Johari berkata, jumlah kemasukan lori ke sempadan Rafah adalah sangat terhad.
Katanya, hanya bantuan daripada Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) seperti Program Makanan Sedunia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (WFP) dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang dibenarkan melepasi sempadan Mesir dan Gaza melalui lintasan Karem Shalom yang dikuasai oleh Israel.
“Kurang daripada 500 lori sahaja yang dibenarkan melepasi sempadan Rafah sejak Israel menutup sempadan itu pada 5 Mei lalu.
“Kami juga terpaksa bergantung pada koordinasi dengan pihak berkaitan kerana bantuan makanan sahaja yang dibenarkan masuk buat masa ini, namun bantuan perubatan yang dibenarkan masuk melalui WHO juga sangat terhad,” katanya ketika dihubungi semalam.
Tambahnya, Ops Ihsan turut bekerjasama dengan Qatar dalam misi penghantaran barangan bantuan, susulan perjumpaan antara Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Menteri Negara bagi Kerjasama Antarabangsa Qatar PYT Lolwah Rashid Al-Khater, pada 13 Mei lalu.
Katanya, pengusaha lori dari Kaherah turut memberikan harga yang tinggi atau enggan memasuki Gaza kerana risiko tinggi yang akan dihadapi, termasuk terkandas di sempadan.
“Kami memiliki beberapa gudang dengan bekalan bantuan yang siap sedia untuk dihantar, tetapi kos lori yang tinggi dan risiko tersangkut di sempadan menyukarkan proses penghantaran tersebut.
“Jika Qatar mendapat giliran masuk, kami akan segera menghantar lori-lori kami untuk mengagihkan bantuan makanan kepada mereka,” jelasnya.
Jismi turut berkata, faktor risiko dan kesukaran untuk masuk menyebabkan harga lori meningkat sehingga melebihi AS$7,000 (RM33,017).
Katanya, Karem Shalom juga mempunyai proses yang ketat untuk menyalurkan bantuan kerana perlu memberikan senarai barang kepada kerajaan Mesir untuk mendapatkan kebenaran masuk.
“Israel juga menghadkan jumlah lori yang masuk ke Gaza untuk menyukarkan penduduk Gaza, dan hanya lori daripada beberapa negara seperti Qatar dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang dibenarkan masuk,” katanya.










