SEREMBAN: Hasrat Negeri Sembilan FC (NSFC) untuk meraih mata pertama dalam saingan Liga Super tidak kesampaian apabila tewas kepada Kuala Lumpur (KL) City 0-3 dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi di sini malam tadi.
Pasukan Hobin Jang Hobin gagal memanfaatkan kelebihan beraksi di hadapan penyokong sendiri apabila pelawat dilihat lebih banyak menguasai perlawanan.
Hasilnya, KL City memperoleh gol pertama hasil tandukan Brendan Gan yang memanfaatkan hantaran lintang di depan pintu gol pasukan tuan rumah pada minit ke-27.
Dua minit selepas itu, pemain kebangsaan itu melakukan larian solo namun gagal melakukan sepakan tepat ke gawang tuan rumah.
NSFC hampir menyamakan kedudukan pada minit ke-38 namun tandukan Dzulfahmi Abdul Hadi tersasar dari gol lawan.

Masuk separuh masa kedua, malang menimpa tuan rumah apabila pemain import, Jacque Faye, diperintah keluar padang selepas mengasari Ryan Edward Lee Kit Seng Lambert pada minit ke-53.
Pengadil perlawanan, S. Logeswaran bertindak mengeluarkan kad merah kepada pemain berasal dari Senegal itu.
Pelawat menggandakan asakan bagi mengambil peluang daripada situasi kekurangan pemain tuan rumah itu dan asilnya pada minit ke-72, ketua pasukan mereka, Paulo Josue, merembat deras bola dalam kotak penalti menewaskan penjaga gol NSFC, Muhamad Aqil Abdul Razak.
Pemain gantian pasukan pelawat, Sharvin Selvakumar yang masuk pada minit ke-87 menambah derita NSFC dengan gol pada minit ke-90 dengan tandukan hasil daripada sepakan sudut.
Selepas mengharungi tiga perlawanan, NSFC kekal di tangga tercorot liga tanpa meraih sebarang mata manakala KL City meraih mata keempat mereka.-UTUSAN.










