KUALA LUMPUR: Kerajaan memberi jaminan siasatan melibatkan mana-mana masyarakat termasuk ahli sukan dilakukan secara telus dan berdasarkan fakta.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau menyedari timbul keresahan dalam kalangan masyarakat terhadap satu insiden baru-baru ini, namun siasatan perlu dilakukan secara profesional dan adil.
Katanya, sebarang siasatan yang gopoh mungkin menyebabkan berlaku ketidakadilan melibatkan mana-mana pihak.
“Walaupun ada kadangkala gelisah dan mengeluh kerana lambat bertindak, tetapi kita mahu tindakan itu dilakukan secara profesional dan adil. Bukan untuk melindungi sesiapa.
“Hukuman itu mestilah mengikut fakta, bukan persepsi dan emosi.
“Saya beri jaminan sebab memang timbul keresahan dalam kalangan kita, tentunya saya, cuma tindakan itu dilakukan secara profesional, tetapi tidak terus menghukum sebelum ada fakta,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Anugerah Sukan Negara di Bukit Jalil di sini, malam ini.
Dalam pada itu, Anwar berkata, kerajaan tetap memberi keutamaan dalam pembangunan sukan walaupun berdepan kekangan kewangan.
Justeru, kata Perdana Menteri, beberapa cadangan yang telah dan akan dikemukakan Kementerian Belia dan Sukan termasuk dari segi peruntukan tetap menjadi perhatian kerajaan.
Katanya, kepimpinan kerajaan Madani sentiasa mengutamakan peruntukan bagi melonjakkan arena sukan sekali gus membawa kecemerlangan kepada tanah air.
“Kita juga tumpu kepada pemerkasaan ekonomi dan budaya termasuk sukan. Namun dalam semua bidang, kita harus menunjukkan kecemerlangan,” katanya.
Anwar berkata, sukan kini menjadi wadah menyatukan rakyat dan perkara itu dilihat berjaya apabila masyarakat tanpa mengira kaum dan agama bersatu-padu dalam memberikan sokongan kepada kontingen Malaysia. – UTUSAN










