JOHOR BAHRU: Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) masih menunggu laporan kimia sampel ayam goreng dipercayai menjadi punca keracunan makanan di sebuah sekolah menengah di Batu Pahat, Khamis lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Ling Tian Soon berkata, keputusan laporan itu dijangka akan diperoleh dalam masa dua atau tiga hari lagi.
Pihaknya menerima maklumat tentang kejadian itu pada 27 Jun lalu apabila seramai 90 pelajar dan sembilan guru mengalami keracunan makanan selepas makan ayam goreng di kantin sekolah itu.
“Pihak Jabatan Kesihatan Batu Pahat telah mengambil langkah susulan dengan memeriksa premis tersebut dan mengambil sampel makanan dari premis tersebut. Keputusan itu dijangka diterima dalam masa dua ke tiga hari lagi,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Kempen Saringan Diabetes oleh Hospital Pakar Regency di pusat beli-belah Mid Valley Southkey, di sini hari ini.
Tian Soon berkata, daripada 99 individu yang mengalami keracunan makanan itu, hanya 11 orang menerima rawatan sebagai pesakit luar di klinik kesihatan atau klinik swasta kerana sakit perut.
Kantin sekolah tersebut telah diarahkan tutup sejak Jumaat lalu sehingga 11 Julai bagi membolehkan siasatan dijalankan.
“Saya difahamkan tidak ada antara mangsa yang ditahan di wad untuk pemeriksaan lanjut. Cuma 11 sahaja yang menjalani rawatan, yang lain mungkin mengalami simptom ringan.
“Ini bukanlah kali pertama kejadian keracunan makanan berlaku yang disyaki berpunca makanan kantin di sekolah. Sepanjang tempoh penutupan, pihak kantin perlu bersihkan premis mereka,” katanya.
Kes tersebut disiasat di bawah Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988. – UTUSAN










