Kejayaan 100% buktikan kemampuan pembelajaran tirai besi - Utusan Malaysia

Kejayaan 100% buktikan kemampuan pembelajaran tirai besi

AZMAN Adnan (tengah) menyampaikan Anugerah Kecemerlangan kepada guru Sekolah Integriti Marang yang diangkat sebagai Sekolah Keseluruhan Terbaik Sekolah Integriti dan Sekolah Henry Gurney seluruh negara sempena Anugerah Kecemerlangan SPM Sekolah Integriti dan Sekolah Henry Gurney di Penjara Kluang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLUANG: Kejayaan mengekalkan untuk tahun kedua pencapaian 100 peratus kelulusan dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) oleh 10 buah Sekolah Integriti dan Sekolah Henry Gurney di seluruh negara membuktikan kemampuan pembelajaran boleh dilaksanakan walaupun dalam tirai besi. 

Berikutan itu, semua 74 pelajar yang ditahan di kedua-dua sekolah ini berjaya memperoleh sijil masing-masing dengan pencapaian terbaik 8A oleh masing-masing seorang dari Sekolah Integriti Marang dan Kluang. 

Ketua Pengarah Pendidikan, Azman Adnan berkata, sekolah Integriti yang paling berjaya adalah Sekolah Integriti Marang dengan pencapaian Gred Purata Sekolah (GPS) 1.53 berbanding tahun sebelumnya GPS 4.21, sekali gus dinobat sebagai Sekolah Keseluruhan Terbaik.

“Melihat keputusan ini, kerjasama Kementerian Pendidikan (KPM) dan Jabatan Penjara (JPM), anak-anak yang dididik di dua institusi ini juga mampu memperoleh kejayaan cemerlang. 

“Kerjasama antara KPM dan JPM ini akan berterusan dan tidak akan mengetepikan mereka dalam memperoleh ilmu pengetahuan dan kemahiran,” katanya pada Majlis Anugerah Kecemerlangan SPM Sekolah Integriti dan Sekolah Henry Gurney di Penjara Kluang, di sini hari ini. 

Yang turut hadir, Timbalan Komisioner Jeneral Penjara (Keselamatan dan Koreksional), Datuk Abdul Aziz Abdul Razak. 

Menurut Azman, dengan adanya panduan daripada guru-guru di kedua-dua sekolah itu, setiap pelajar turut mampu melanjutkan pelajaran masing-masing menerusi kemudahan yang disediakan. 

“Tidak mustahil, para pelajar ini juga mampu menggenggam ijazah ketika dalam tahanan dan keluar dengan tekad untuk mengubah masa silam hidup mereka,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN