KEMAMAN: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) menyasarkan jualan RM1.2 juta di tiga lokasi Karnival Agro Madani di Pantai Timur selama tiga hari bermula kelmarin sempena Hari Raya Aidiladha.
Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) FAMA, Faisal Iswardi Ismail berkata, tiga lokasi penganjuran karnival itu adalah Pasar Tani Kekal (PTK) Chukai di sini, PTK Chini, Pahang dan Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Tunjong, Kota Bharu, Kelantan.
Menururnya, karnival tersebut bertujuan membantu pengguna setempat mendapatkan barangan keperluan bagi persediaan menyambut Hari Raya Aidiladha.
“Pengguna boleh mendapatkan barangan keperluan dan produk asas tani pada harga sehingga 30 peratus lebih murah daripada pasaran,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Karnival Agro Madani di Pasar Tani Kekal Chukai, di sini, semalam.
Beliau memberitahu, Karnival Agro Madani itu menawarkan sebanyak 4.5 metrik tan ikan yang dijual pada harga lelong seperti siakap (RM5 seekor), kerapu (RM6 seekor), merah (RM10 seekor) dan sotong (RM15 sekilogram).
Tambahnya, pengguna juga boleh mendapatkan ayam segar pada harga RM15 seekor dan daging lembu (RM29 sekilogram).
“Karnival Agro Madani peringkat Pantai Timur ini kesinambungan daripada penganjuran sulung yang telah diadakan di PTK Seberang Jaya, Pulau Pinang pada 30 Mei hingga 2 Jun lalu.
“Selepas ini, program akan menjelajah lagi dua lokasi iaitu PTK Datin Halimah, Johor Bahru dan PTK Changlun, Kedah secara berperingkat sehingga 27 Julai depan,” katanya. – UTUSAN










