Jenayah: OKU tidak terlepas tindakan undang-undang

Jenayah: OKU tidak terlepas tindakan undang-undang

OKU yang memegang kad tidak akan terlepas daripada jenayah jika terlibat dalam kes jenayah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Orang Kelainan Upaya (OKU) tidak terlindung oleh mana-mana perundangan sekiranya didapati melakukan jenayah walaupun mereka mempunyai kad OKU yang memberi keistimewaan lain.

Pakar sosial, Prof. Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran berkata, undang-undang yang dibuat adalah peraturan yang merangkumi semua pihak tanpa mengira bangsa atau status.

Menurut beliau, apabila sesuatu jenayah dilakukan, sudah pasti ia akan dibicarakan dengan melihat beberapa aspek sama ada ia dibuat secara se­ngaja atau berlaku kecuaian.

“Tetapi jika perkara itu dilakukan secara sengaja, lalai, atau cuai, sudah pasti undang-undang akan mengambil tindakan terhadap individu tersebut tanpa memisahkan, mendiskriminasikan ataupun membezakan sama ada ia dilakukan oleh orang sempurna ataupun OKU.

“Dalam konteks individu pemegang kad OKU, mereka sebenarnya telah melalui satu sari­ngan dan diberikan kad tersebut oleh pihak berwajib dan banyak keistimewaan yang mereka pe­roleh antaranya tempat letak kereta ataupun memasuki kapal terbang.

“Mereka akan diberikan ke­utamaan dan ini adalah keistimewaan yang diberikan oleh pihak kerajaan kepada mereka tetapi itu tidak semestinya mereka akan diberi keistimewaan sekiranya mereka melanggar undang-undang,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Sebelum ini, berlaku beberapa kes kemalangan dan jenayah membabitkan pelakunya yang merupakan OKU sehingga ada kes diselesaikan tanpa menyaksikan pelaku menerima hukuman malah ada kalangan mereka dibebaskan.

Perkara itu secara tidak langsung mencetuskan tanda tanya dalam kalangan masyarakat sehingga ada yang berseloroh ‘jika buat kesalahan, jika melanggar seseorang, keluarkan sahaja kad OKU, pasti terlepas’.

Selain itu, Mohammad Shatar berkata, pemegang kad OKU tidak boleh mengambil kesempatan dengan beranggapan ‘mereka akan terlepas daripada tindakan undang-undang’ dan melakukan sewenang-wenangnya.

“Peraturan yang kita ada, tidak membolehkan mereka berkelakuan sedemikian sehingga siasatan yang terperinci (jika melakukan jenayah) se­perti mana yang kita laksanakan kepada semua masyarakat di Malaysia.

“Kita perlu faham tujuan pe­raturan yang ada ini bukan ingin memberi pengecualian kepada sesiapa, tetapi untuk memastikan keharmonian dan kedamaian masyarakat secara keseluruhan,” katanya.

Sementara itu, Pensyarah Sains Politik UUM, Mohd. Afifi Abdul Razak berkata, terdapat desakan agar Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengkaji semula proses pemberian lesen memandu kepada OKU untuk memastikan lesen hanya diberikan kepada mereka yang mampu mengendalikan kenderaan dengan selamat.

“Pada 2019, JPJ mengumumkan bahawa mereka akan mengemaskini proses permohonan lesen OKU, termasuk memerlukan penilaian perubatan dan ujian memandu praktikal. Walau bagaimanapun, tidak jelas sejauh mana keberkesanan langkah-langkah ini dilaksanakan.

“Selain itu, gangguan mental dan kurang upaya intelektual boleh menjadi lebih mencabar untuk dikesan berbanding kurang upaya fizikal. Terdapat kes di mana pemandu yang terlibat dalam kemalangan didapati mempunyai masalah kesihatan mental.

“Ini menyerlahkan keperluan untuk saringan kesihatan mental yang lebih baik dan sokongan untuk individu yang mengalami gangguan mental, terutamanya berkaitan dengan memandu,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×