Jemaah haji Malaysia dipuji, disegani – Pemangku Raja Perlis

Jemaah haji Malaysia dipuji, disegani – Pemangku Raja Perlis

TUANKU Syed Faizuddin Putra Jamalullail ketika tiba di Terminal Haji Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdulaziz Jeddah, Arab Saudi untuk mengerjakan ibadah haji baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bangga apabila jemaah haji Malaysia disegani dan dipuji banyak pihak kerana nilai-nilai positif mereka.

Baginda juga terharu apabila mendapati rata-rata penginapan dan khemah yang didiami jemaah haji Malaysia sentiasa bersih walaupun digunakan ramai jemaah.

Titah baginda, selain tersusun dari sudut pengurusan, para jemaah haji Malaysia turut disenangi kerana budi pekerti dan adab selain sentiasa mematuhi peraturan ditetapkan pihak berkuasa tempatan Arab Saudi, Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) dan Kedutaan Besar Malaysia.

“Inilah nilai dan ciri-ciri harus dipertahankan dan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) melalui jawatankuasa di bawahnya juga berhasrat untuk membudayakan nilai positif berkenaan agar dapat diterapkan dalam kalangan masyarakat terutamanya generasi muda.

“Usaha menerapkan nilai-nilai positif berkenaan melalui silibus Sekolah Agama Petang Perlis (SAPP), penekanan dalam pengajaran kuliah agama dan khutbah selain pendekatan santai melalui media sosial seperti ‘podcast’ dan hantaran sebaran ringkas telah dan bakal dilaksanakan MAIPs,” titah baginda.

Terdahulu, Tuanku Syed Faizuddin berkenan menyerahkan sumbangan Tabung Ibnu Sabil MAIPs kepada Pejabat Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah yang disampaikan kepada Konsul Je­neral, Roslan Sharif ketika baginda tiba di Terminal Haji Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdulaziz Jeddah, Arab Saudi untuk mengerjakan haji baru-baru ini.

Berangkat sama Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan anakanda baginda, Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail, Sharifah Farah Adriana Jamalullail serta Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN