BRN dakwa rundingan damai tiga wilayah buntu

BRN dakwa rundingan damai tiga wilayah buntu

Barisan Revolusi Nasional Melayu Patani (BRN) mendakwa peningkatan operasi ketenteraan di Selatan Thai kebelakangan ini mencerminkan konflik masih berterusan. - IHSAN ISOC 4
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NARATHIWAT (THAILAND): Ba­risan Revolusi Nasional Me­layu Patani (BRN) mendakwa ketegangan yang kembali memuncak di tiga wilayah Selatan Thailand kebelakangan ini berpunca daripada ketiadaan petunjuk positif dalam proses rundingan damai sebelum ini.

Jurucakap Sekretariat Run­dingan Damai BRN berkata, pihaknya memandang serius peningkatan operasi ketente­raan di Selatan Thailand yang mencerminkan konflik masih berterusan tanpa sebarang penyelesaian mapan.

Kataya, operasi sayap bersenjata BRN mempunyai sasaran yang jelas, iaitu pasukan keselamatan Thailand dan projek kapitalis yang didakwa menjejaskan kehidupan rakyat, merosakkan alam sekitar serta menghakis identiti masyarakat Melayu.

“BRN sangat menghormati dan mematuhi undang-undang perang antarabangsa. Kami menyeru masyarakat awam sentiasa mengutamakan keselamatan diri dengan mengelakkan berada berdekatan lokasi atau sasaran yang berpotensi menjadi kawasan operasi bersenjata.

“Kami juga menggesa ma­syarakat tidak melibatkan di­ri dalam pasukan keselamatan Kerajaan Thailand atau me­ngambil sebarang peranan yang boleh ditafsirkan sebagai menyokong operasi keselamatan kerajaan, demi mengurangkan risiko terhadap keselamatan diri,” katanya ketika dihubungi.

Jurucakap itu berkata, BRN menggesa orang ramai mengelak berada berhampiran lokasi atau sasaran yang berpotensi menjadi kawasan operasi bersenjata.

Katanya, rundingan damai kekal sebagai alternatif terbaik bagi mencapai penyelesaian konflik secara bermaruah, adil dan berkekalan.

“Penyelesaian konflik melalui solusi politik adalah satu pendekatan yang berupaya menamatkan konfrontasi demi mewujudkan perdamaian dan keamanan yang hakiki, bermartabat dan berkekalan,” ujarnya.

Dia turut menghargai peranan Malaysia sebagai fasilitator proses rundingan damai dan penglibatan komuniti antarabangsa yang disifatkan profesional dalam usaha mencari penyelesaian terhadap konflik yang berlarutan di Patani.

“BRN berharap rundingan damai ini dapat diperkukuh dengan sokongan padu seluruh komuniti Patani demi menamatkan konflik ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN