ALOR SETAR: Cadangan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) menjadikan Langkawi sebagai pilihan pelancong muslim dikhuatiri menjejaskan pelancongan terutamanya dari luar negara ke pulau tersebut.
Pengerusi Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Kedah/Perlis, Eugene Dass berkata, kerajaan tidak perlu mencadangkan Pulau Langkawi sebagai pelancongan muslim.
“Tidak ada keperluan untuk mempromosi Langkawi seperti itu kerana semua pelancong harus datang ke sini. Sekarang ada pelancong dari Eropah, China, Arab, Australia dan Amerika Syarikat.
“Lagipun di Langkawi semua hotel mempunyai sijil halal termasuk restoran. Tidak perlu jadikan orang ramai panik terutama penggiat industri pelancongan ini kerana kita bimbang ia memberi persepsi lain sehingga ada satu mekanisme yang terbaik, baru umum,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, di sini semalam.
Beliau mengulas kenyataan Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Khairul Firdaus Akbar Khan yang bercadang untuk menjadikan Langkawi sebagai destinasi pilihan muslim pada sidang Dewan Rakyat, baru-baru ini.
Menurut beliau, langkah berkenaan perlu diambil ekoran persaingan destinasi pelancongan terutama pulau-pulau di negara jiran.
“Itu sebabnya kita akan mempromosikan Langkawi sebagai pulau destinasi pilihan muslim supaya ia lebih ke arah kekeluargaan, keredaan dan kerohanian,” kata Khairul Firdaus.
Mengulas lanjut kata Eugene, penggiat industri pelancongan di Kedah terutama di Langkawi berhempas pulas untuk menjadikan pulau tersebut sebagai tarikan ramai seperti dahulu.
“Dalam usaha memulihkan semula pelancongan di Langkawi selepas pandemik banyak perkara harus dilakukan terutama membaiki fasiliti di kawasan pelancongan dan promosi serta kualiti juga perlu dipertingkat,” katanya.
Sementara itu, menurut Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Pelancongan Langkawi (LTA), Zainudin Kadir, mekanisme yang tepat perlu dirangka untuk memastikan pelaksanaan Langkawi destinasi pilihan muslim dapat memberi nilai tambah kepada penggiat pelancongan.
“LTA pada amnya menyokong cadangan Motac kerana ia juga sebenarnya mampu menjadi tarikan pada pelancongan bukan Islam ke Langkawi yang mementingkan produk halal. Namun mekanismenya harus jelas kerana kita bimbang cadangan ini akan dimanipulasi atau dipolitikkan seterusnya mencetus polemik yang menjejaskan imej Langkawi.
“Kita tidak nafikan ketika ini Langkawi bergantung lebih 70 peratus kepada pelancong luar negara berbanding domestik hanya 30 peratus. Jadi harus lebih gigih melakukan promosi,” katanya. – UTUSAN









