KAHERAH: Sekurang-kurangnya 42 orang terbunuh dalam siri serangan Israel ke atas bandar Gaza, di utara wilayah Palestin, pada Sabtu.
Pengarah Pejabat Media Kerajaan yang dikendalikan Hamas, Ismail Al-Thawabta berkata, serangan Israel ke atas sebuah rumah Al-Shati, salah satu daripada lapan kem pelarian bersejarah di Gaza, mengorbankan 24 orang.
18 lagi rakyat Palestin terbunuh dalam serangan ke atas rumah di kawasan kejiranan Al-Tuffah, lapor Reuters.
Tentera Israel mengeluarkan kenyataan ringkas memaklumkan jet pejuang Pasukan Pertahanan Israel (IDF) kononnya menyerang dua tapak infrastruktur pejuang Hamas di bandar Gaza.
Katanya, butiran lanjut akan dikeluarkan tidak lama lagi.
SASAR ORANG AWAM
Setakat ini, Hamas belum mengulas mengenai dakwaan Israel membedil infrastruktur ketenteraannya.
Sebaliknya, pasukan pejuang itu menegaskan serangan Israel menyasarkan orang awam dan berikrar ‘pendudukan dan pemimpin Nazi akan membayar harga untuk pencabulan mereka terhadap rakyat Palestin’.
Rakaman imej Reuters menunjukkan berpuluh-puluh rakyat Palestin bergegas keluar untuk mencari mangsa akibat rumah yang musnah.
Rakaman itu menunjukkan beberapa rumah rosak, dinding diletupkan dan serpihan serta debu memenuhi jalan di kem pelarian Shati.
Kempen darat dan udara Israel di Gaza tercetus apabila pejuang Hamas menyerbu ke selatan Israel pada 7 Oktober, tahun lalu, yang membunuh kira-kira 1,200 orang dan menahan lebih 250 tebusan, dakwa Israel.
Serangan itu menyebabkan Gaza hancur, sehingga lebih 37,400 orang terbunuh, dengan 101 daripadanya terkorban dalam tempoh 24 jam lalu, kata pihak berkuasa kesihatan Palestin.
TUMPU DUA ZON AKHIR
Lapan bulan selepas perang, kemaraan Israel kini tertumpu kepada dua kawasan terakhir yang belum ditawan tenteranya iaitu Rafah di pinggir selatan Gaza dan kawasan sekitar Deir al-Balah.
Penduduk berkata, kereta kebal Israel memperdalam pencerobohan mereka ke kawasan barat dan utara Rafah sejak beberapa hari kebelakangan ini.
Sabtu lalu, tentera Israel mengebom beberapa kawasan dari udara dan darat, memaksa ramai keluarga yang tinggal di kawasan yang dianggap sebagai ‘zon kemanusiaan’ untuk meninggalkan bahagian utara.
Tentera Israel mendakwa, pasukannya meneruskan operasi sasaran ‘tepat berdasarkan perisikan’ di Rafah, membunuh ramai lelaki bersenjata Palestin dan memusnahkan infrastruktur ketenteraan.
Pada Jumaat, Kementerian Kesihatan Gaza berkata, sekurang-kurangnya 25 rakyat Palestin terbunuh di Mawasi, barat Rafah manakala 50 yang lain cedera.
Penduduk Palestin berkata, peluru kereta kebal terkena sebuah khemah yang menempatkan keluarga pelarian.
Bagaimanapun, tentera Israel mendakwa insiden itu sedang dalam semakan.
“Siasatan awal menunjukkan tiada petunjuk serangan dilakukan oleh IDF di Kawasan Kemanusiaan di Al-Mawasi,” katanya.










