MEKAH: Setiap musim haji, umat Islam dari seluruh dunia yang mewakili pelbagai bahasa, budaya dan tradisi berkumpul di Tanah Suci.
Kepelbagaian budaya terserlah bukan sahaja pada pakaian jemaah, tetapi juga pada bahasa.
Seorang profesor sejarah di Universiti Umm Al-Qura, Fawaz Al-Dahas menekankan persefahaman dan solidariti umat Islam yang berkumpul setiap tahun di Tanah Suci, hanyalah untuk satu tujuan iaitu menunaikan ibadah haji.
PUPUK KESAKSAMAAN
Beliau berkata, walaupun berbeza bahasa dan latar belakang budaya, jemaah haji berusaha untuk membentuk persefahaman, keharmonian dan kebaikan antara satu sama lain bagi memastikan ibadah mereka diterima serta tidak sia-sia.
“Pertukaran budaya semasa haji adalah unik. Jemaah berpeluang belajar mengenai adat dan tradisi negara lain, membuka pengalaman dan mendalami pengetahuan baharu.
“Ibadah tahunan ini mempromosikan konsep satu negara, di mana semua jemaah adalah sama tanpa mengira bangsa atau kewarganegaraan mereka.
“Pemakaian ihram menimbulkan rasa kesaksamaan sebagai satu komuniti, selain memupuk nilai sabar, tolak ansur dan bekerjasama semasa melaksanakan ibadah, yang mengukuhkan lagi semangat persefahaman dalam kalangan umat Islam,” katanya.
PERPADUAN SOSIAL
Seorang mutawif, Rania Shawdary berkata, ibadah haji adalah acara tahunan penting yang mencerminkan usaha besar kerajaan Arab Saudi dalam menerima kedatangan jemaah dari seluruh dunia.
“Jemaah menyaksikan secara langsung perkhidmatan dan kemudahan disediakan, yang mendorong mereka mengambil bahagian serta bekerjasama untuk menjayakan ibadah ini,” katanya.
Beliau berkata, jemaah mempelajari kepentingan perpaduan sosial melalui perkongsian makanan dan kemudahan bersama sepanjang perjalanan melaksanakan ibadah.
Shawdary memuji peranan Arab Saudi yang sentiasa menambah baik pelbagai kemudahan, yang boleh dinikmati semua jemaah dari seluruh dunia secara percuma seperti air, makanan serta penginapan.
KUALITI AIR
Syarikat Air Negara Saudi memaklumkan sekitar satu bilion liter air yang dipam dan diagihkan ke Mekah serta tempat suci untuk kegunaan lebih 1.8 juta jemaah pada Hari Arafah.
Tapak suci itu menggunakan 286 juta liter air, manakala lebih 704 juta liter diagihkan melalui sistem air awam Mekah.
Syarikat itu berkata, pengagihannya dibantu di bawah penyeliaan jurutera dan penyelia syarikat dari setiap kawasan meliputi Mekah dan tapak suci.
Katanya, operasi dan kerja bekalan air adalah mengikut rancangan ditetapkan lebih awal untuk memudahkan jemaah.
Ini termasuk mengepam air ke tapak suci dan kemudahan Masjidil Haram setiap masa, selain mengekalkan pengepaman 21 jam sehari untuk kawasan kejiranan di Mekah.
Syarikat berkata, tiada sebarang gangguan pada operasi membuktikan pasukan lapangan sentiasa bersedia untuk mengendali dan menangani sebarang keadaan kecemasan.
Malah, kira-kira 4,840 ujian makmal dijalankan pada Hari Arafah untuk memastikan kualiti air yang disediakan kepada jemaah.- AGENSI










