BAITULMUQADDIS: Kira-kira 40,000 rakyat Palestin menunaikan solat sunat Aidiladha di pekarangan Masjid Al-Aqsa di Baitulmuqaddis timur yang dijajah, pada Ahad.
Bagaimanapun, perayaan Aidiladha kali ini bertambah suram tanpa sebarang festival keraian mahupun ibadah korban dilaksanakan.
Jabatan Wakaf Islam di Baitulmuqaddis dalam kenyataan memaklumkan hanya bilangan itu sahaja dibenarkan untuk menunaikan solat disebabkan sekatan tegas yang menghalang puluhan ribu umat Islam memasuki tapak ketiga paling suci dalam Islam.
Bagaimanapun, kebenaran yang diberikan hanya bersifat sementara apabila rejim Zionis menyerang pekarangan Masjid al-Aqsa, ketika rakyat Palestin sedang khusyuk bersembahyang.
Agensi Berita Palestin WAFA melaporkan tentera Israel menyerang umat Islam pada pagi Ahad ketika mereka dalam perjalanan ke Masjid Al-Aqsa.
“Ketika waktu pagi, tentera Israel memasuki pekarangan Al-Aqsa dan memeriksa pengenalan setiap jemaah, menghalang pergerakan sehingga menyebabkan ramai jemaah lelaki tidak dapat memasuki ruang solat utama. Sebaliknya, mereka terpaksa akur dan bersolat di bahagian luar,” katanya.
Di Tebing Barat, umat Islam tidak melepaskan peluang mengerjakan solat sunat Aidiladha di Masjid Ibrahimi, Hebron, walaupun berdepan pemeriksaan sekuriti yang ketat oleh rejim Zionis.
Ketua Jabatan Wakaf Hebron, Ghassan Al-Rajabi berkata, hanya sekitar 8,000 hingga 10,000 rakyat Palestin dibenarkan menunaikan ibadah berkenaan.
“Setiap jemaah perlu melalui laluan masuk tentera dan pagar elektronik ke Masjid Ibrahimi,” jelasnya.










