JAKARTA: Gunung Merapi di Jawa Tengah dan Yogyakarta kembali aktif apabila memuntahkan lava dan aliran piroklastik sehingga 1.5 kilometer dari puncak, semalam.
Gunung berapi itu mengeluarkan asap putih bertekanan rendah mencapai ketinggian 25 hingga 50 meter.
Aliran ini mengalir ke arah hulu sungai berdekatan, mendorong pihak berkuasa mengeluarkan amaran kepada penduduk setempat.
Ketua Balai Penyelidikan dan Pengembangan Teknologi Kebencanaan Geologi (BPPTKG), Agus Budi Santoso berkata, aliran itu menuju ke arah Sungai Bebeng pada pukul 8.55 malam (waktu tempatan).
“Unjuran bahan gunung berapi sekiranya berlaku letusan boleh mencapai radius tiga kilometer dari puncak,” kata BPPTKG.
Katanya, aliran magma yang berterusan boleh mencetuskan lava dan piroklastik dalam zon bahaya.
Menurut laporan Kompas.com, status Gunung Merapi hari ini kekal pada Tahap III atau Amaran, menunjukkan risiko berterusan dari gunung berapi berkenaan.










