Geran penyelidikan kaji peranan penting unta

Geran penyelidikan kaji peranan penting unta

TAWARAN geran adalah untuk menarik penyelidik mengkaji pelbagai aspek kepentingan unta di Arab Saudi.- AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RIYADH: Kementerian Kebudayaan memperkenalkan geran pengajian unta iaitu satu inisiatif yang ditubuhkan untuk menonjolkan peranan penting unta dalam aspek budaya, sosial dan ekonomi Arab Saudi melalui penyelidikan saintifik.

Geran itu mempelawa cadangan penyelidikan dalam pelbagai aspek kepentingan unta, termasuk dimensi sejarah, budaya, sosial, ekonomi, alam sekitar dan berkaitan kesihatan, lapor Saudi Press Agency (SPA).

Geran untuk dimensi sejarah akan meliputi kajian perbandingan kepentingan unta merentasi tamadun, analisis sejarah dan etnografi tradisi berkaitan haiwan itu, termasuk penerokaan kaedah untuk melindungi warisannya.

Dimensi budaya pula menumpukan kepada gambaran artistik dan sastera unta.

Penyelidik digalak untuk menjalankan kajian kritis dan sastera mengenai representasi unta dalam kesusasteraan Arab, termasuk buku kanak-kanak.

Bidang ini terbuka kepada kajian mengenai perbendaharaan kata berkaitan unta dan gambarannya dalam pelbagai media artistik, daripada seni visual dan sinematik kepada ukiran serta arca.

Dimensi sosial mengkaji peranan unta dalam masyarakat Arab dan Islam.

Topik penyelidikan ini termasuk kepentingan tempatan bagi unta, kesan sosialnya, tradisi yang dikaitkan dengan pemilikan unta dan pengaruh acara berkaitan haiwan itu terhadap komuniti di peringkat tempatan serta global.

Sementara itu, dimensi ekonomi pula meneroka sumbangan kewangan dan produk yang dihasilkan daripada unta.

Penyelidik boleh menganalisis penggunaan bulu unta dan kulitnya dalam industri fesyen serta perabot, termasuk menilai kemampanan daya maju ekonomi produk unta serta mengukur kesan kewangannya dan institusi berkaitan.

Dimensi alam sekitar akan menyambut baik penyelidikan mengenai penggunaan tanah yang mampan untuk unta, analisis pelepasan karbon dioksida dan peranan haiwan itu dalam mengekalkan keseimbangan ekologi di kawasan gersang.

Di bawah dimensi kesihatan, penyelidik boleh mengkaji aplikasi perubatan dan terapeutik produk unta, membangunkan teknologi mengukur kualiti dagingnya serta menumpukan kepada pemeliharaan baka dan pemetaan genetik.

Pelancaran geran itu bertepatan dengan pengumuman oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 2024, sebagai Tahun Unta Antarabangsa serta ketetapan Tahun Unta 2024 oleh Arab Saudi.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN