SEREMBAN: Majlis Bandaraya Seremban (MBS) mengambil tindakan tegas dengan menyita dan mengenakan kompaun terhadap penganjur sebuah acara festival makanan Thailand yang diadakan di kawasan laluan pejalan kaki sebuah pusat beli belah di bandar ini semalam.
Datuk Bandar MBS, Datuk Masri Razali berkata, tindakan tersebut diambil selepas mendapati penganjur tidak memohon sebarang permit daripada pihak MBS malah lebih mendukacitakan terdapat peniaga pada acara itu yang turut didapati menjual makanan tidak halal secara terbuka.
“Tiada permit yang diluluskan dan seterusnya kami sita dan kompaun dikenakan kepada penganjur. Ada permohonan permit daripada penganjur yang sama namun untuk acara yang akan diadakan pada bulan Julai nanti bukan pada tarikh ketika ini malahan permohonan itu juga belum diproses lagi.
“Namun lebih mendukacitakan kami dimaklumkan terdapat peniaga yang menjual makanan tidak halal secara terbuka dan bercampur serta tiada pengasingan malah terletak bersebelahan dengan peniaga makanan halal yang lain, ini tidak betul.
“Jika mereka diberikan kelulusan permit sudah pasti kami menyatakan syarat yang perlu diikuti oleh penganjur dan bukan begitu keadaannya yang tiada pengasingan di antara peniaga makanan halal dan tidak halal, itu isu besarnya,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Masri menambah, dalam penguatkuasaan yang dijalankan pihaknya itu, sebanyak 55 buah kerusi, 14 buah meja dan lapan kaki payung telah disita.
Kata beliau, tindakan sita dan kompaun terhadap penganjur tersebut diambil di bawah Seksyen 3 Undang-Undang Kecil Penjaja MBS dan laporan polis turut dibuat oleh MBS di Balai Polis Rahang di sini.
Difahamkan penganjuran festival makanan Thailand itu dijadualkan berlangsung bermula 13 Jun lalu sehingga 23 Jun ini.-UTUSAN.










