Dua sahabat sedia khidmat cuci kereta di rumah pelanggan

Dua sahabat sedia khidmat cuci kereta di rumah pelanggan

ANAS Salihin Mazlan (kanan) dan Hasru Ab. Rahman mencuci kereta di rumah pelanggan mereka di Wakaf Beruas, Kuala Terengganu, semalam. – UTUSAN/KAMALIZA KAMARUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Dua sahabat baik mampu menjana pendapatan lebih RM4,000 setiap bulan dengan menyediakan perkhidmatan mencuci kereta di rumah pelanggan.

Anas Salihin Mazlan, 25, berkata, dia menjalankan per­khidmatan mencuci kereta bersama sahabatnya, Hasru Ab. Rahman, 23, berikutan perniagaan itu mempunyai potensi cerah pada masa depan.

Anas berkata, mereka memulakan perniagaan itu sejak empat bulan lalu menggunakan modal RM10,000 yang dikongsi untuk membeli pelbagai jenis peralatan pembersihan seperti vakum berkuasa tinggi.

“Kami pergi ke rumah pe­langgan kerana mahu memudahkan mereka tanpa perlu menunggu lama di kedai cuci kereta seperti kebiasaan.

“Kereta akan siap dicuci antara sejam setengah hingga dua jam dan sepanjang tempoh itu, pelanggan boleh menyiapkan pelbagai urusan lain yang lebih penting,” katanya ketika ditemui di Wakaf Beruas di sini, semalami.

Anas adalah pemegang Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Pengurusan Risiko dan Takaful) dari Universiti Sultan Zainal Abidin manakala Hasru memiliki Diploma Perakaunan dari Politeknik Sultan Azlan Shah, Perak.

Dua sahabat itu menawarkan empat pakej membersihkan kenderaan berharga antara RM90 hingga RM150.

Anas memberitahu, sambutan diterima amat menggalakkan kerana mereka turut menerima tempahan di daerah yang jauh seperti Dungun dan Kemaman.

“Kami sangat mengutamakan kualiti kerja dan bayaran dibuat hanya setelah pelanggan berpuas hati dengan kereta yang telah siap dicuci.

“Kebiasaannya mereka akan mempromosikan perkhidmatan kami kepada rakan-rakan dan saudara-mara lain setelah mempercayai hasil kualiti kerja kami,” katanya.

Tambahnya, mereka juga mempunyai dua pekerja sambilan sekiranya jumlah tempahan yang diterima agak tinggi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×