Cuaca panas tidak halang 1.9 juta rakyat Malaysia ke Thailand

Cuaca panas tidak halang 1.9 juta rakyat Malaysia ke Thailand

MESKIPUN berdepan cuaca panas sehingga 42 darjah Celsius minggu lalu namun pelancong masih tetap ramai mengunjungi Thailand di pantai Songkhla, Thailand baru-baru ini. – UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Suhu panas di Thailand sejak awal tahun lalu sehingga mencecah 42 darjah Celsius di Bangkok minggu lalu tidak menghalang negara Gajah Putih itu `diserbu’ pelancong termasuk rakyat Malaysia.

Data Jabatan Imigresen Thailand, menganggarkan 14 juta pelancong dari seluruh dunia memasuki Thailand sejak 1 Januari sehingga 27 Mei lalu dengan pengunjung Malaysia seramai 1.9 juta.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Persatuan Perdagangan dan Pelancongan Halal Thailand-Asia Tenggara, Aida Oujeh berkata, berdasarkan data tersebut, kehadiran pengunjung Malaysia merekodkan kedua tertinggi selepas China.

Menurut beliau, cuaca panas yang melanda Thailand tidak menjejaskan kemasukan pelancong kerana kehadiran pelancong terus konsisten.

Kata beliau, sejak dua tiga hari lalu, suhu panas di beberapa wilayah menurun berikutan hujan di sesetengah kawasan.

Mengikut laporan di Thailand semalam, suhu di Bangkok turun kepada 34 darjah Celcius manakala lokasi lain yang turut diminati pelancong seperti Satun 30 darjah Celsius manakala Hatyai Songkhla dan Narathiwat masing-masing 33 darjah Celcius.

“Dalam tempoh lima bulan ini, China merekodkan jumlah kemasukan tertinggi dengan jumlah 2.8 juta, diikuti Malaysia (1.9 juta), Russia (800,000) dan India (800,000).

“Dapat dilihat walaupun keadaan cuaca panas di Thailand, namun kemasukan pelancong terus konsisten,” katanya.

Utusan Malaysia pada April lepas melaporkan pihak berkuasa Thailand memberi amaran kepada penduduk di sebahagian besar kawasan di negara itu termasuk Bangkok supaya mengelak daripada berada di luar rumah disebabkan cuaca panas melampau.

Menurut Jabatan Meteorologi, suhu mencecah 42 darjah Celcius di daerah Bangna di Bangkok, manakala indeks haba pula mencapai rekod setinggi 54 darjah Celsius.

Mengulas lanjut, Aida berkata, jumlah kemasukan pelancong ke negara itu tidak terjejas biarpun berdepan ancaman cuaca ekstrim bermula sejak Februari lalu.

“Ini dapat dilihat dengan jelas apabila tempahan hotel-hotel di Thailand khususnya sekitar Songkla penuh dengan kemasukan pelancong yang mengambil peluang untuk bercuti walaupun cuaca panas,” katanya.

Dalam pada itu, Aida berkata, keadaan cuaca panas di Thailand juga kelihatan sema­kin pulih sejak kebelakangan ini dan mula dibasahi dengan taburan hujan.

Katanya, suhu panas yang direkodkan pada minggu lalu juga agak tinggi dan mencecah sehingga 42 darjah Celcius. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×