PETALING JAYA: Barisan Nasional (BN) menyifatkan keputusan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menggugurkan keahlian automatik enam ahli Parlimen dan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) sebagai satu muslihat politik berbanding keutamaan untuk mengekalkan kestabilan dan usaha memulihkan ekonomi negara ini.
Bagaimanapun Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, pihaknya sedang memantau keputusan Bersatu tersebut.
Dalam pada itu, BN memberi komitmen berterusan untuk membawa isu-isu rakyat yang memerlukan tindakan segera demi memelihara kesejahteraan hidup rakyat melalui langkah-langkah proaktif yang diambil bersama Kerajaan Perpaduan.
“Semua parti komponen dan Friends of BN memberi komitmen dalam mempersiapkan semua jentera parti bagi membantu calon Kerajaan Perpaduan dalam menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap,” katanya dalam kenyataan selepas Mesyuarat Agung Tahunan Dewan Tertinggi BN semalam.
Terdahulu, Bersatu sudah menyerahkan notis pemakluman kekosongan kerusi membabitkan enam ahli Parlimen yang terhenti keahliannya secara serta merta kepada Pejabat Yang Dipertua Dewan Rakyat Khamis lalu.
Notis pemakluman kekosongan kerusi tersebut dibuat mengikut Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan dan sudah pun diterima oleh Pejabat Yang Dipertua Dewan Rakyat.
Pada 2 Jun lalu, enam Ahli Parlimen dan seorang ADUN Bersatu digugurkan keahlian serta-merta selepas gagal menjawab surat arahan bertulis Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti untuk menzahirkan ikrar taat setia kepada parti itu.
Mereka ialah Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal; Zahari Kechik (Jeli); Mohd. Azizi Abu Naim (Gua Musang); Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Datuk Suhaili Abdul Rahman (Labuan) dan Datuk Dr. Zulkafperi Hanafi (Tanjong Karang).
Seorang lagi ADUN yang turut digugurkan keahliannya ialah ADUN Selat Klang, Datuk Abdul Rashid Asari
Sementara itu, Zambry memaklumkan, Dewan Tertinggi BN bersetuju untuk mengadakan beberapa program khas bagi memperkasakan hubungan parti dengan rakyat sebelum Sambutan Jubli Emas Barisan Nasional ke-50 yang bakal disambut pada hujung 2024.










