Belum diiktiraf komponen BN, MyPPP tidak turun berkempen di PRK Sungai Bakap - Utusan Malaysia

Belum diiktiraf komponen BN, MyPPP tidak turun berkempen di PRK Sungai Bakap

LOGA BALA Mohan (duduk, tengah) bersama pemimpin dan ahli MyPPP Pahang pada Konvensyen MyPPP Pahang di Karak, Bentong, Pahang. - FOTO/SHAIKH AHMAD RAZIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BENTONG: Parti Progresif Penduduk (MyPPP) membuat keputusan tidak turun berkempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap apabila berasa dipinggirkan kerana masih belum diiktiraf sebagai parti komponen Barisan Nasional (BN).

Pemangku Presidennya, Datuk Loga Bala Mohan berkata, MyPPP yang tidak pernah meninggalkan BN perlu dikembalikan sebagai rakan komponen dan bukan dianggap sebagai sekutu luar.

“Pada Mei lalu kita menghadapi PRK Kuala Kubu Bharu di Selangor dan pada masa itu saya mengarahkan jentera MyPPP di peringkat nasional dan Selangor turun membantu jentera BN dan kerajaan madani dalam pilihan raya berkenaan.

“Namun, setelah tamat PRK Kuala Kubu Bharu, MyPPP diketepikan ataupun tidak diiktiraf dan seterusnya bagi PRK DUN Sungai Bakap, kita membuat keputusan untuk tidak mengambil bahagian,” katanya ketika ditemui pada Majlis Konvensyen MyPPP Pahang di sini.

PRK Sungai Bakap menyaksikan pertembungan satu lawan satu iaitu calon Pakatan Harapan (PH) Dr. Joohari Ariffin dan calon Perikatan Nasional (PN), Abidin Ismail.

Mengulas lanjut, Loga berkata, atas faktor maruah dan kehormatan parti tersebut, keputusan terpaksa dibuat mengambil kira kehendak akar umbi yang tidak mahu dipergunakan mana-mana pihak.

“Antara perkara yang dikesali adalah parti tidak pernah dilibatkan dan dijemput dalam mana-mana program selepas PRK Kuala Kubu Bharu sedangkan kami masih komponen BN,” katanya.

Beliau berkata, walaupun tidak turun berkempen pada PRK Sungai Bakap, parti itu masih komponen BN seperti dahulu.

“Apa sahaja keputusan tentang hala tuju parti akan ditentukan oleh ahli dalam mesyuarat agung parti pada Ogos depan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, selepas hampir lima tahun berada dalam kemelut, MyPPP sudah kembali dan giat mengerakkan parti itu di seluruh negara dengan sasaran menambah kira-kira 100,000 ahli baru menjelang hujung tahun depan.

Katanya, daripada 3,200 cawangan MyPPP, sebanyak 80 peratus sudah selesai bermesyuarat dan parti itu bersedia untuk mengadakan mesyuarat agung pada 18 Ogos depan.

“Sebelum masalah ini (kemelut parti) kita ada lebih kurang 528,000 orang ahli dan setelah itu kita kembali dengan 320,000 orang ahli dan masih ada lebih 1,000 ahli yang masih belum menghubungi parti, masa ini kita minta ahli-ahli turun berjumpa dengan mereka dan bawa mereka kembali.

“Pendaftaran ahli-ahli baru sedang berjalan dan kita yakin dapat sambutan kerana kita adalah parti berbilang kaum dan juga kita boleh terima ahli dari usia 18 tahun,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN