‘Baba’ lembu sado ‘pikat’ pengunjung

‘Baba’ lembu sado ‘pikat’ pengunjung

ABDUL Rashid Md. Yusop bersama Baba ketika ditemui di Melaka Agrofest 2024 di Dataran Sejarah, Ayer Keroh semalam. – UTUSAN/MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Seekor lembu sado baka limousine yang dikenali sebagai Baba mencuri tumpuan pengunjung Melaka Agrofest 2024 kerana kejinakannya ketika dipamerkan kepada orang ramai.

Pemiliknya, Abdul Rashid Md. Yusop, 46, berkata, Baba terpilih menyertai pameran tersebut selepas mengenepikan ‘cabaran’ 12 ekor lembu sado lain yang diternak di Badang Farm Ayer Pasir, Durian Tunggal dekat sini.

Menurut pesara tentera itu, Baba dinilai oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) berdasarkan beberapa kriteria antaranya saiz, panjang tanduk, postur badan dan tahap kesihatan.

“Bukan senang hendak sertai pameran, mesti ada penilaian daripada DVS. Baba baru berusia dua tahun sembilan bulan walaupun saiz badannya seperti lembu dewasa.

“Ini adalah kali pertama Baba menyertai pameran sebesar ini dan bertemu dengan ramai orang. Baba nampak sahaja ganas tetapi sebenarnya ia seekor lembu jantan yang manja dan mudah didekati.

“Baba juga memberi kerjasama yang baik dan tidak banyak kerenah sepanjang proses pemindahan dari kandang ke tapak pameran. Baba juga sedia untuk dijual pada harga RM19,000 kepada yang berminat,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Selain Baba, tiga ekor lembu sado lain turut menyertai Melaka Agrofest 2024 yang berlangsung tiga hari sehingga Ahad ini bertempat di Dataran Sejarah, Ayer Keroh.

Dalam pada itu, Abdul Rashid berharap pameran lembu sado dapat mengubah stigma masyarakat terhadap baka berkenaan.

“Ramai yang menganggap lembu sado sangat mahal tetapi sebenarnya ia sama seperti lembu pedaging biasa. Bezanya lembu sado lebih berat dan banyak daging sebab itu ia mahal.

“Selain itu, pasaran lembu sado di Melaka masih terhad jika dibandingkan dengan Kelantan dan Terengganu. Saya harap pameran ini dapat membuka mata ramai pihak terhadap potensi baka ini,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN