Puteh, Pokjak jadi tumpuan di Laman Ternakan - Utusan Malaysia

Puteh, Pokjak jadi tumpuan di Laman Ternakan

Lembu sado baka Charolais seberat 900 kilogram yang dipamerkan di Laman Ternakan pada Pameran Pertanian Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2022. – MINGGUAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SERDANG: Kemanjaan dua ekor lembu sado yang dibawa dari Kelantan sempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2022 menarik perhatian ramai pengunjung terutamanya kanak-kanak untuk melihat haiwan tersebut dengan lebih dekat.

Lembu yang diberi nama Puteh dan Pokjak masing-masing berusia empat dan tiga tahun itu bukan sahaja jinak dan manja, malah mempunyai warna yang menarik.

Menurut pengusaha ternakan Army Fidlot, Mohd. Amirul Amin Ismail, Puteh merupakan lembu sado daripada baka Charolais manakala Pokjak pula daripada baka Limousin yang masing-masing mempunyai berat sekitar 900 kilogram.

“Berat badan Puteh sebelum ini pernah mencecah sehingga satu tan (1,000 kilogram), tapi kita berjaya kurangkan berat badannya supaya tidak terlalu obese bagi mengelak terkena penyakit atau sukar untuk bangun.

“Pengurusan lembu dari baka hibrid seperti ini juga perlu lebih teliti terutamanya dari segi penjagaan, pemakanan, vaksin dan pemberian vitamin,” katanya ketika ditemui di Laman Ternakan, Taman Ekspo Pertanian Malaysia di sini semalam.

Mohd. Amirul turut menyifatkan lembu hibrid tersebut sebagai baka paling seronok untuk dijaga walaupun memerlukan kos yang tinggi dari segi penjagaan.

Katanya lagi, sehingga kini penternakan yang diusahakan keluarganya di Pasir Hor, Kota Bharu itu mempunyai sebanyak 20 ekor induk lembu hibrid dari kedua-dua jenis baka berkenaan.

“Baka Charolais ini sebenarnya diperkenalkan oleh Jabatan Veterinar kepada para penternak dan bapa Putih merupakan baka lembu dari Australia yang kemudiannya disenyawakan dengan induk dari baka hampir sama di negara ini.

“Puteh memang sangat manja, tidak garang dan sangat mudah didekati. Jadi bila kanak-kanak tengok mereka memang akan suka dan tertarik untuk lihat dengan lebih dekat,” katanya.

Tambah Mohd Amirul, berdasarkan berat dan saiz Puteh, lembu berkenaan dianggarkan bernilai sekitar RM25,000 sementara Pokjak pula sekitar RM33,000. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN