KUALA LANGAT: Lebih 50 pemain industri dan institusi pendidikan berkaitan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) menanti pengunjung ke Sambutan Hari TVET Negara 2024 yang berlangsung di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Kuala Langat bermula hari ini dan esok.
Sekretariat Majlis TVET Negara, Dr. Mohd. Faizal Tokeran berkata, program tersebut menyediakan pengisian lima hab TVET yang meliputi pameran, seminar, pameran kerjaya, keusahawanan dan cabaran bidang kemahiran tersebut.
Katanya, ILP Kuala Langat dipilih sebagai tuan rumah kerana kedudukannya yang strategik apabila dikelilingi tujuh institusi berkaitan TVET di bawah enam kementerian berbeza dalam kawasan Banting.
“ILP Kuala Langat mudah diakses melalui jalan utama dan kedudukannya strategik berhampiran dengan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), Kolej Komuniti Kuala Langat, Politeknik Banting, Kolej Vokasional Kuala Langat dan sebagainya.
“Jadi, ia membuka ruang dan kemudahan kepada pengunjung tempatan sendiri untuk mengunjungi program Sambutan Hari TVET Negara 2024 yang penuh dengan pengisian sama ada kepada bakal pelajar ataupun bakal graduan sektor itu,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sambutan yang bermula pada pukul 8.30 pagi hari ini akan melibatkan aktiviti pameran dan demonstrasi kemahiran, seminar kerjaya TVET, pameran kerjaya dan sebagainya, selain kunjungan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi pada sebelah petang.
Kemudian, program utama akan berlangsung pada esok dan Sambutan Hari TVET Negara 2024 akan dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang melancarkan Dasar TVET Negara 2030.
Dalam pada itu, Mohd. Faizal turut memberitahu, terdapat pelbagai kemudahan sepanjang dua hari program tersebut berlangsung termasuk tempat letak kereta dan bas yang disediakan.
“Pengunjung boleh meletakkan kenderaan masing-masing di Politeknik Banting dan ruang yang terdapat antara ILP dan Politeknik. Selain itu terdapat ruang parkir disediakan di institusi-institusi berhampiran seperti Kolej Matrikulasi dan Sekolah Menengah Sains Banting. Pengunjung akan dibantu pandu arah oleh pihak berkuasa seperti polis dan Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL).
“Selain kemudahan parkir, untuk keselesaan pengunjung juga terdapat lebih 10 kendera saji disediakan berhampiran ruang pameran,” ujarnya. – UTUSAN









