49 pekerja asing maut, bangunan di Kuwait terbakar

49 pekerja asing maut, bangunan di Kuwait terbakar

KEBANYAKAN penghuni bangunan itu berasal dari negeri Kerala dan Tamil Nadu.- BBC
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUWAIT CITY: Seramai 40 warga India dikenal pasti daripada 49 mangsa maut dalam kebakaran di sebuah bangunan kediaman yang menempatkan pekerja asing di bandar Mangaf, selatan Kuwait semalam.

Jumlah korban itu disahkan oleh Kementerian Luar India dan pihaknya memaklumkan 50 lagi warganya turut cedera dalam kejadian berkenaan.

Pihak berkuasa berkata, kebanyakan mangsa adalah dari negeri Kerala dan Tamil Nadu di selatan India.

Kejadian itu mendapat perhatian Perdana Menteri, Narendra Modi yang menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa terlibat.

“Kejadian kebakaran di Kuwait City amat menyedihkan. Ingatan saya bersama mereka yang kehilangan orang terdekat. Saya berdoa agar mereka yang cedera juga segera pulih,” katanya di X.

Modi berkata, kedutaan India sedang memantau keadaan dan bekerjasama dengan pihak berkuasa di Kuwait.

Seorang menteri kerajaan, Kirti Vardhan Singh berlepas ke Kuwait hari ini, dan memaklumkan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) sedang dijalankan untuk mengenal pasti mangsa.

“Sebuah pesawat Tentera Udara juga disediakan. Sebaik sahaja mayat dikenal pasti, waris akan dimaklumkan dan pesawat tersebut akan membawa pulang mayat,” katanya.

Pengarah Forensik kementerian, Mejar Jeneral Eid Rashid Al-Owaidan berkata, pihak berkuasa tempatan menerima laporan kebakaran pada pukul 6 pagi (waktu tempatan).

Timbalan Perdana Menteri Kuwait, Sheikh Fahad Yusuf al-Sabah menuduh pemilik bangunan melanggar piawaian sehingga menyebabkan tragedi itu.

Beliau mengarahkan penahanan dibuat terhadap pemilik bangunan, petugas kebersihan dan pemilik syarikat yang bertanggungjawab terhadap warga asing terbabit.

Rakyat India menyumbang 21 peratus daripada jumlah penduduk Kuwait dan 30 peratus daripada tenaga kerjanya.

Selain pekerja asing warga India, rakyat Pakistan, Filipina, Mesir dan Nepal juga antara korban insiden itu.- BBC

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN