BENTONG: Seramai 45 orang yang merupakan pekebun durian ditahan kerana menceroboh tanah kerajaan dengan menanam Musang King di bawah Ops Sekat yang diadakan bermula 30 April lalu.
Ketua Polis negeri, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, selain menceroboh tanah kerajaan, pekebun warga tempatan dan asing itu turut ditahan kerana melanggar arahan mahkamah.
“Kita juga merampas 44 buah motosikal, 12 trak pikap, empat buah lori, empat kereta, dua jengkaut dan empat jentera pengorek dan kesemua barang sudah disita.
“Kita juga membuka 50 kertas siasatan melibatkan pelbagai kesalahan seperti di bawah Kanun Keseksaan, Kanun Tanah Negara, Akta Perhutanan Negara dan Akta Imigresen,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di sini hari ini.
Pada 30 April lalu, Mahkamah Tinggi membuat keputusan memberi kuasa penuh kepada pihak berkuasa negeri untuk mengambil alih semula tanah kerajaan dan hutan simpan yang diteroka di Raub.
Menurut Yahaya, Ops Sekat yang melibatkan 201 pegawai dan anggota polis giat dilaksanakan melibatkan lapan kawasan tumpuan termasuk di Sungai Ruan, Tranum, Ulu Dong, Tras, dan kawasan sekitar.
Katanya, pihak polis juga melakukan pemantauan kerja pembinaan ‘parit gajah’ di beberapa kawasan bagi mengelakkan daripada hutan berkenaan diceroboh.
“Selain itu, untuk operasi ini kita juga buat pemantauan udara kerana ia adalah kawasan bukit bukau, jadi kita buat pemantauan dan juga penguatkuasaan melalui udara.
“Jadi saya menasihatkan semua pekebun yang meneroka secara haram ini menghormati atau menunggu apa-apa keputusan mahkamah dan tidak melakukan perkara yang melibatkan kesalahan ataupun menyalahi undang-undang,” ujarnya. – UTUSAN










