RIYADH: Arab Saudi memaklumkan kira-kira 1,301 jemaah meninggal dunia ketika mengerjakan ibadah haji tahun ini, lapor Agensi Akhbar Saudi (SPA).
Menteri Kesihatan, Fahd Abdurrahman Al-Jalajel berkata, kebanyakan kematian adalah berpunca daripada cuaca panas melampau dan melibatkan 83 peratus jemaah haji tanpa permit.
Beliau berkata, jemaah yang tidak berdaftar termasuk dalam kalangan warga emas dan pesakit kronik, berjalan kaki pada jarak jauh tanpa tempat rehat serta perlindungan mencukupi ketika cuaca panas.
Suhu di Mekah meningkat kepada 51.8 darjah Celsius ketika kemuncak ibadah haji, minggu lalu.
Minggu lalu, AFP melaporkan 1,100 jemaah haji meninggal dunia berdasarkan kenyataan rasmi dan laporan daripada diplomat.
Diplomat Arab memberitahu AFP bahawa rakyat Mesir menyumbang 658 kematian, dengan 630 daripadanya adalah jemaah haji tidak berdaftar.
Meskipun berlaku peningkatan kematian jemaah pada musim ini, Fadh Al-Jalajel menyifatkan pengurusan ibadah haji bagi tahun 2024 berjaya.
Beliau berkata, pihak berkuasa kesihatan Arab Saudi menyediakan lebih 465,000 perkhidmatan rawatan khusus, termasuk 141,000 perkhidmatan kepada mereka yang tiada kebenaran rasmi menunaikan haji.
Sabtu lalu, Perdana Menteri Mesir, Mostafa Madbouly mengarahkan 16 syarikat pelancongan dilucutkan lesen dan merujuk pengurusnya ke pejabat pendakwa raya kerana membawa jemaah haji ke Mekah secara haram.
Beliau berkata, peningkatan jumlah kematian jemaah Mesir yang tidak berdaftar berpunca daripada tindakan beberapa syarikat pelancongan yang menganjurkan program haji menggunakan visa lawatan peribadi.










