MEKAH: Sebanyak 10 menara kediaman lima tingkat baharu di bawah projek Suruhanjaya Diraja bandar Mekah dan tapak-tapak suci, siap dibina sepenuhnya, lapor Saudi Press Agency (SPA).
Projek kendalian Kidana Development Co. itu terletak di blok 38 Mina berhampiran kemudahan Jamarat dan meliputi kawasan seluas 3,065 meter.
Projek Kidana Al-Wadi adalah sebahagian daripada rancangan untuk meningkatkan perkhidmatan dan kapasiti di Tanah Suci.
Suruhanjaya itu berkata, ia bertujuan meningkatkan kualiti perkhidmatan yang diberikan kepada jemaah haji dan landskap bandar, selain berusaha mengatur serta memudahkan pergerakan orang ramai di sekitarnya.
Projek itu boleh menampung sehingga 33,000 jemaah dengan setiap bangunan mengandungi 140 bilik.
Antara fasiliti yang disediakan dalam menara berkenaan termasuklah kawasan solat utama, ruang duduk luar, bilik kawalan dan pemantauan, tempat makan, klinik perubatan, dapur serta sistem pengurusan sisa bagi setiap bangunan.
Ia juga meliputi teknologi untuk mengawal suhu serta mengatur pergerakan pejalan kaki dan bas.
Kawasan ini turut mempunyai 20 stesen janakuasa dengan kapasiti melebihi 30 megawatt.










