Uzbekistan mahu tiru standard Jakim

Uzbekistan mahu tiru standard Jakim

Anwar Ibrahim diberi penghormatan menanam pokok cemara biru bersama Shavkat Mirziyoyev di pekarangan Istana Presiden, Kuksaroy di Tashkent pada 17 Mei, 2024.– FB ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Uzbekistan berhasrat bekerjasama dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bagi memastikan piawaian halal di negara itu mencapai standard sama seperti dilaksanakan oleh Jakim.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu yang dibincangkan ketika kunjungan hormat dan mesyuarat dua hala delegasi Malaysia diketuai beliau bersama Presiden Uzbekistan, Shavkat Mirziyoyev kelmarin.

Menurut beliau, Uzbekistan juga berhasrat untuk bekerjasama dengan Institut Jantung Negara (IJN) bagi meningkatkan kualiti rawatan di negara itu serta menjalankan projek-projek bersama.

Anwar berkata, negara itu turut mamu perkukuhkan kerjasama antara Asean dan Asia Tengah.

“Dalam mesyuarat lebih satu jam Presiden Mirziyoyev antara lain menyatakan penghargaan terhadap ketegasan Malaysia memperjuangkan keadilan buat rakyat Palestin.

“Malaysia dan Uzbekistan berkongsi pendirian mahu melihat kewujudan sebuah negara Palestin yang bebas dan merdeka,” kata beliau dalam kenyataan semalam.

Selain itu, kata Perdana Menteri, Malaysia dan Uzbekistan bersetuju dengan cadangan mewujudkan zon perindustrian Uzbekistan-Malaysia bagi memperkukuh hubungan perdaga­ngan antara kedua-dua negara.

Anwar berkata, kedua-dua negara juga bersetuju mempermudah dan mempercepatkan prosedur pelaburan antara kedua-dua negara selain mewujudkan zon perindustrian Uzbekistan-Malaysia.

Katanya, Malaysia dan Uzbekistan turut bersetuju me­ngangkat status Jawatankuasa Bersama untuk Perdagangan antara kedua-dua negara menjadi Suruhanjaya Bersama Antara Kerajaan.

“Saya dan Presiden Mirziyoyev senada mahu memperkukuh hubungan dua hala Malaysia-Uzbekistan khusus­nya terkait perdagangan dan pelaburan, selain kerjasama dalam sektor pendidikan, tenaga, industri halal, pertanian, pengangkutan, teknologi digital, kesihatan, pelancongan, kebudayaan serta kewangan dan perbankan Islam.

“Uzbekistan antaranya me­nya­takan hasrat menjalin ker­­jasama dengan Petronas da­lam sektor hidrogen hijau dan petrokimia, selain latihan tenaga manusia dalam sektor mi­nyak dan gas,” kata beliau.

Terdahulu, Anwar menge­tuai delegasi Malaysia ketika mengadakan kunjungan hormat dan mesyuarat dua hala dengan wakil Kerajaan Uzbekistan yang diketuai Mirziyoyev.

Perdana Menteri turut menjemput Mirziyoyev untuk datang ke Malaysia, khususnya bagi menyertai Forum Global Ekonomi dan Kewangan Islam di Kuala Lumpur pada 28 Mei ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN