SEPANG: Pembaca setia Utusan Malaysia sekali lagi berpeluang membaca pelbagai laporan terkini yang melibatkan jemaah haji negara apabila wartawan akhbar ini, Mohamad Hafiz Yusoff Bakri terpilih sebagai petugas media musim haji kali ini.
Ketika ditemui pada program pelepasan kumpulan kedua petugas operasi haji di Pusat Konvensyen Movenpick di sini semalam, beliau teruja dan bersyukur terpilih menjadi tetamu Allah.
“Alhamdulillah memang terperanjat apabila dipanggil mengikuti kursus asas haji semua petugas pada Februari lalu kerana giliran saya pula lambat lagi,” jelasnya.
PETUGAS
Terdahulu, Pengarah Eksekutif Haji Lembaga Tabung Haji (TH), Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman hadir menyantuni 16 petugas media yang terpilih.
Mereka merupakan sebahagian daripada 150 orang petugas yang berlepas ke Madinah semalam selepas kumpulan pertama seramai 16 orang bertolak pada 30 April lalu.
Mohamad Hafiz, 37, yang berasal dari Batu Caves, Selangor itu berkata, pengalaman menunaikan umrah lebih enam tahun lalu akan dijadikan panduan.
“Walau bagaimanapun, ibadah haji sebenarnya lebih mencabar apatah lagi saya bukan setakat beribadah, bahkan kena bertugas membuat liputan berita pada setiap hari,” tambahnya.
Beliau mengakui agak berdebar kerana perlu menyesuaikan masa menghantar laporan berita ke tanah air demi tatapan kepada pembaca akhbar ini.
Pada masa sama, beliau yang sudah berkhidmat dengan Utusan Malaysia sejak 2014 turut perlu berwaspada dengan keadaan cuaca panas di Tanah Suci.
INTENSIF
Ditanya mengenai persediaan, beliau berkata, pihak TH menyediakan kursus intensif selama lima hari termasuk tiga hari di ibu pejabat agensi berkenaan.
“Baki dua hari pula, semua petugas menjalani latihan lagi menerusi Kursus Perdana Haji di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, Selangor,” kata Mohamad Hafiz.
Sementara itu, Syed Saleh berkata, lebih 600 orang terpilih menjadi petugas operasi haji di Tanah Suci tahun ini dan bersedia memberi perkhidmatan terbaik.
Malaysia pada musim kali ini menghantar seramai 31,600 orang jemaah haji menerusi 100 penerbangan sewa khas daripada syarikat AMAL by Malaysia Airlines dan Saudia Airlines.
Penerbangan pertama pada 10 Mei manakala kumpulan yang terakhir pula akan berlepas pada 9 Jun depan. – UTUSAN











