GUA MUSANG: Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) melaksanakan penerbangan ihsan menggunakan helikopter bagi membawa seorang kanak-kanak orang Asli ke Hospital Gua Musang selepas
mengalami masalah paru-paru semalam.
Sepanjang penerbangan itu pesakit, Rafifarizi Amin, 1, dari Pos Balar di sini terpaksa menggunakan bantuan oksigen.
Pegawai Perhubungan Awam JBPM, Pangkalan Wilayah Tengah Subang, Selangor, Penolong Penguasa Bomba, Mohd. Rizzan Jefri berkata, penerbangan ihsan yang menggunakan pesawat jenis Mi-17-IV itu berlepas dari Pangkalan Udara Wilayah Tengah Subang, Selangor pada pukul 12.03 tengah hari.
Menurutnya, pesawat tersebut kemudian tiba di Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang pada pukul 1.15 petang.
“Selepas mengambil pesakit, pesawat berlepas dari Pos Balar pukul 1.35 petang dan tiba di Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang pada pukul 1.44 petang.
“Pesakit kemudiannya diserahkan kepada kakitangan kesihatan yang sudah bersedia bersama ambulans di sana,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Mohd. Rizzan memberitahu, operasi terbabit diketuai oleh Penolong Kanan Penguasa Bomba, Mohd. Azuna Mohamed Sabri bersama pembantu juruterbang, Penolong Penguasa Bomba, Sarifudin Ladulu dan tujuh lagi anggota.
Katanya, pesawat selamat di Pangkalan Udara Wilayah Tengah Subang, Selangor pada pukul 6.02 petang.-UTUSAN










