NARATHIWAT (THAILAND): Warga asing yang dicekup semasa cuba menyeludup keluar ganja dari Thailand berdepan hukuman penjara 10 tahun selepas kerajaan menguatkuasakan peraturan baharu bermula 17 Jun lalu.
Jurucakap Klinik Perubatan Tradisional dan Alternatif Jabatan Kesihatan Awam Wilayah Narathiwat berkata, hukuman denda berjumlah RM3,684 bagi setiap kilogram ganja yang cuba diseludup turut dikenakan kepada rakyat asing.
“Mereka juga boleh didenda empat kali ganda nilai barang termasuk duti atau kedua-duanya sekali. Ia susulan terdapat beberapa laporan dalam tempoh beberapa bulan kebelakangan ini membabitkan pelancong asing yang ditahan selepas cuba membawa keluar ganja ke negara lain,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Jurucakap itu mengingatkan orang ramai bahawa membawa ganja ke negara yang masih mengharamkan bahan tersebut adalah kesalahan serius.
“Sesiapa yang menyeludup ganja keluar dari Thailand tanpa melalui prosedur kastam atau cuba mengelak pemeriksaan, menghadapi hukuman undang-undang yang berat,” ujanrya.
Menurut jurucakap itu, pihak berkuasa kastam Thailand turut mengetatkan kriteria penalti dengan kadar denda ditentukan mengikut jumlah ganja yang dirampas.
Katanya, walaupun ganja di Thailand ditadbir di bawah undang-undang khusus untuk kegunaan perubatan dan kesihatan, terdapat negara yang masih mengklasifikasikan bahan itu sebagai narkotik haram yang serius. – UTUSAN










