Undi awal berpihak PH atau BN?

Undi awal berpihak PH atau BN?

PETUGAS Suruhanjaya Pilihanraya (SPR), Ahmad Radzi Mohamed (kiri) dan Khairul Azam Mohd. Hamdan memasang tali penghadang dan banting sebagai persiapan pengundian awal hari ini di pusat pengundi di Markas Pasukan Polis Marin Wilayah 2, Kampung Pengkalan Tinting, Johor Bahru, semalam. - UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Hari ini proses Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Ke-16 tertumpu kepada seramai 24,751 orang pengundi awal yang yang akan menjalankan tanggungjawab masing-masing.

Mereka terdiri daripada 12,710 orang anggota polis, 12,041 anggota tentera serta pasangan masing-masing.

Tradisinya, golongan pengundi awal ini sering dilabel sebagai ‘deposit tetap’ kepada mana-mana kerajaan yang sedang mentadbir.

Bagaimanapun PRN Johor kali ini menyaksikan suasana politik berbeza, apabila kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan yang mentadbir merupakan gabungan politik yang sedang ‘bertarung’ antara satu sama lain.

Buat Barisan Nasional (BN) di bawah Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, sokongan daripada anggota pertahanan dan keselamatan negara ini dilihat agak kritikal.

Ia ditambah dengan tentangan hebat diberikan Pakatan Harapan (PH) termasuk dengan kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sepanjang hujung minggu lalu menunjukkan gabungan itu benar-benar mahu merampas dan mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri.

Penganalisis sosiopolitik, Prof. Madya Dr. Awang Azman Awang Pawi berkata, BN masih mempunyai peluang untuk memenangi PRN Johor dan membentuk kerajaan negeri.

Ia sekali gus menyambung pentadbiran terdahulu yang menerima mandat majoriti lebih dua pertiga iaitu 40 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada 56 kerusi dipertandingkan.

“Persoalan utama bukan lagi sama ada BN mampu mencapai majoriti mudah 29 kerusi tetapi sama ada BN dapat mengekalkan pencapaian 40 kerusi seperti pada 2022, memperoleh majoriti dua pertiga sekurang-kurangnya 38 kerusi, atau mencatat kemenangan lebih besar.

“Pengundi awal yang majoritinya merupakan individu Melayu Muslim turut diberikan pilihan selain daripada BN atau PH, mereka juga mempunyai ruang untuk mengundi calon-calon daripada Perikatan Nasional (PN).

“Mungkin isu seperti kos sara hidup, identiti Melayu-Islam dan sentimen anti-establishment boleh memberikan PN undi bantahan.

“Namun, keputusan bertanding hanya di 33 daripada 56 kerusi menunjukkan keterbatasan dan komitmen gabungan itu menjadi kerajaan negeri. Ketiadaan calon di 23 kawasan melemahkan naratif bahawa PN merupakan alternatif menyeluruh kepada BN mahupun PH,” katanya.

Pemerhati politik juga melihat apakah faktor-faktor seperti kenaikan gaji penjawat awam oleh kerajaan Persekutuan, atau pelbagai inisiatif kerajaan negeri seperti Bantuan Kasih Johor (BKJ) akan memberikan kesan kepada corak pengundian bakal ditentukan pemilih sendiri.

Sejarah pilihan raya di negara ini telah membuktikan undi awal merupakan petanda kepada keputusan keseluruhan sesuatu pilihan raya yang diadakan.

Apapun keputusannya, 24,751 undi awal yang akan menunaikan tanggungjawab masing-masing adalah kayu ukuran pertama buat Menteri Besar Johor dan juga Perdana Menteri Malaysia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN