PONTIAN: “Saya tidak menyangka impian menjadi tetamu Allah pada tahun ini dimakbulkan setelah menunggu selama 15 tahun untuk menunaikan fardu haji,” kata warga emas, Ambok Tang Hussin, 75.
Ambok Tang berkata, dia dan isteri, Saleha Ibrahim, 72. sudah lama menyimpan impian ke tanah suci bagi menunaikan Rukun Islam kelima itu.
“Bersyukur kepada Allah kerana impian untuk menunaikan haji sejak 2009, akhirnya tercapai apabila terpilih menjejakkan kaki ke Mekah tahun ini.
“Saya tidak menyangka giliran untuk menunaikan haji diterima sebelum bulan puasa setelah anak saya menyemaknya di Pejabat Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) Pontian,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Parit Abd. Rahman, Benut di sini, semalam.
Tambah Ambok Tang, selain isteri, pemergiaan turut diiringi dua anaknya, Mohmad Faizal, 50 dan Norhayati, 42 serta menantu, Mujahid Misran, 47.
“Macam-macam rasa ada, takut pun ada, bimbang pun ada, gembira pun ada, walaupun sebelum ini pernah menunaikan umrah sebanyak dua kali pada 2013 dan 2019,” ujarnya.
Dia yang mempunyai enam orang anak dan 17 cucu mula menyimpan di Tabung Haji ketika mula membuat permohonan menunaikan fardu haji pada 2009 hasil pendapatan daripada kebun kelapa sawit dan tanaman pisang.
Katanya, hasil daripada pendapatan kebun kelapa sawit seluas 10 ekar dan kebun pisang nipah disimpan di Tabung Haji setiap bulan sekurang-kurang RM1,000 sebulan, begitu juga dengan isteri turut berbuat demikian.
Menurut Ambok Tang, dia turut mengikuti kursus haji pada tahun-tahun sebelumnya bagi mendapatkan pengetahuan di Masjid Daeng Temenggung Abdul Rahman di Benut seminggu sekali.
“Setelah mengetahui menerima tawaran ini, saya dan isteri melipatkangandakan usaha menimba seberapa banyak pengetahuan mengenai ibadah haji dan kursus haji perdana peringkat negeri Johor baru-baru ini,” ujarnya. – UTUSAN










