PETALING JAYA: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah mahu pihak polis segera menyiasat insiden berunsur keganasan melibatkan pemain pasukan Selangor FC, Muhammad Faisal Abdul Halim yang disimbah asid di pusat beli-belah, semalam.
Baginda sebagai Penaung Selangor FC dan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah sebagai Presiden Selangor FC, mengecam sekeras-kerasnya serangan tidak bermoral itu dan mahu Polis Diraja Malaysia (PDRM) segera mencari punca dan pelakunya.
“Baginda memandang serius kejadian ini dan mahu siasatan turut merangkumi kemungkinan sekiranya ada melibatkan kegiatan kumpulan yang berniat jahat atau keingkaran awam seperti samseng bola sepak atau hooliganisme.
“Baginda amat kecewa dan menganggap kejadian seumpama ini sebagai melampau kerana melibatkan nyawa ahli-ahli sukan,” katanya di Facebook Selangor Royal.
Dalam pada itu, baginda turut mendoakan agar Faisal Halim kembali sihat seperti sedia kala dan dapat meneruskan khidmat sebagai pemain untuk pasukan Selangor FC.
Semalam, kecoh apabila pemain bola sepak kebangsaan itu cedera dipercayai disimbah asid dalam kejadian di sebuah pusat beli-belah di Kota Damansara.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor, Mohd Najwan Halimi kemudiannya mengesahkan insiden tersebut menyebabkan Faisal Halim mengalami kelecuran tahap dua dengan kecederaan di beberapa bahagian tubuh iaitu di sekitar leher, bahu, lengan dan dada. – UTUSAN










