RM19 juta bagi baikpulih 39 klinik usang di Sarawak - Utusan Malaysia

RM19 juta bagi baikpulih 39 klinik usang di Sarawak

MICHAEL Tiang Ming Tee bercakap dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 di DUN Sarawak, Petra Jaya di sini hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUCHING: Peruntukan sebanyak RM19 juta diperuntukkan bagi pelaksanaan kerja-kerja menaik taraf klinik-klinik usang di seluruh Sarawak bagi tahun 2024.

Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak, Datuk Michael Tiang Ming Tee berkata, peruntukan tersebut melibatkan kerja menaik taraf 39 klinik termasuk enam klinik bandar yang usang.

“Di bawah peruntukan ini, sebuah klinik akan dibina semula dengan baki 38 projek yang melibatkan penambahbaikan infrastruktur, memperoleh peralatan dan meningkatkan perkhidmatan perubatan di kawasan yang kurang mendapat perkhidmatan,” jelasnya.

Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bawang Assan, Dato Sri Wong Soon Koh dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 di DUN Sarawak, Petra Jaya di sini hari ini.

Datuk Michael menambah, pada tahun 2023, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah meluluskan sejumlah 39 projek bernilai RM8.497 juta untuk Sarawak bagi menaik taraf klinik usang dan kemudahan penjagaan kesihatan.

“Ini merangkumi kerja pembaikan sebahagian infrastruktur, penyediaan air terawat, pendawaian semula, penggantian genset dan pengecatan semula yang telah disiapkan pada tahun yang sama,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS) telah melaksanakan pelbagai program jangkauan untuk menggalakkan ekuiti kesihatan di kawasan luar bandar.

“Ini termasuk menyediakan rawatan perubatan secara berkala ke kawasan terpencil melalui Perkhidmatan Doktor Udara (FDS), Pasukan Kesihatan Kampung (VHT), Doktor Pelawat Klinik Desa (RCVD) dan memperkasakan wakil kesihatan kampung melalui program wakil kesihatan kampung,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN