TANAH MERAH: Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA) Pengkalan Chepa rampas 6.12 tan minyak masak peket selepas menahan seorang lelaki dalam serbuan di Kampung Chawas, di sini kelmarin.
Lelaki berusia 28 tahun itu ditahan pada pukul 11 malam selepas anggota Batalion 8 PGA menjalankan pemeriksaan ke atas sebuah lori.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KDPN) Kelantan Azman Ismail berkata, nilai keseluruhan rampasan itu dianggarkan berjumlah RM15,300.
“Pihak kami menerima serahan rampasan ini dari Batalion 8 PGA. Saya tidak menolak kemungkinan minyak masak peket ini akan diseludup ke negara jiran menggunakan pangkalan haram yang terdapat di sepanjang Sungai Golok.
“Kes ini akan disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Azman memberitahu, KPDN Kelantan berharap orang ramai supaya membantu menyalurkan maklumat dalam membanteras aktiviti penyeludupan.
Katanya, tindakan tegas akan diambil kepada mana-mana individu atau kumpulan yang terlibat dengan aktiviti tidak bermoral ini.-UTUSAN
-habis-










