KUCHING: Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan Tambahan (2023) 2024 dalam Persidangan DUN Sarawak Ke-19 pada Khamis.
Speaker DUN Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar meluluskan RUU tersebut selepas memperoleh undi majoriti.
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, tambahan peruntukan sebanyak RM267,928,353 akan digunakan untuk membiayai keperluan-keperluan kerajaan.
“Seperti yang terkandung dalam ‘Command Paper No.3’ tahun 2024 yang telah dibentangkan di DUN mengikut Seksyen 4(2) Akta Kumpulan Wang Pembangunan 1966, terdapat 44 sub-aktiviti dan 55 sub-sub aktiviti yang mana peruntukan tambahan diperlukan dengan jumlah peruntukan RM17,400,520.
“Dalam pada itu, sejumlah RM112,486,000 diperlukan oleh Jabatan Premier Sarawak untuk menampung sewa bangunan pejabat berjumlah RM42 juta, geran operasi Kolej Universiti i-CATS berjumlah RM30 juta dan geran operasi Universiti Teknologi Sarawak (UTS) berjumlah RM19.2 juta.
“Selain itu, sejumlah RM9.24 juta juga akan digunakan untuk geran operasi Tabung Gagasan Anak Sarawak (TEGAS), perkhidmatan pengurusan fasiliti untuk pejabat kerajaan sebanyak RM6.04 juta dan geran kepada Yayasan Sarawak berjumlah RM6 juta,” kata Uggah yang juga Menteri Kewangan dan Ekonomi Baru II,
Dalam perkembangan jumlah tambahan tersebut, Unggah yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak memberitahu, sebanyak RM78 juta diperuntukkan untuk Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak (MYSED) bagi persediaan Sukan Malaysia (SUKMA) XXI 2024.
Tambahnya, sejumlah RM5,358,650 turut diperlukan oleh Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (MPHLG) untuk Skim Pinjaman Rumah Panjang dan persidangan dan lawatan sambil belajar ke luar negara dan RM3.585 juta diperlukan oleh Kementerian Pengangkutan Sarawak (MOTS) bagi tujuan persidangan dan lawatan sambil belajar ke luar negara.










