PETALING JAYA: Fasa peralihan monsun menjadi salah satu faktor peningkatan kes demam denggi.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) memaklumkan, Malaysia sedang berdepan hujan lebat dan angin kencang ekoran fasa peralihan monsun yang diramalkan sehingga Mei ini.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pakar Kesihatan Awam, Datuk Dr. Zainal Ariffin Omar berkata, situasi itu secara tidak langsung menyebabkan banyak takungan air terhasil dan akibatnya boleh menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes.
“Ada tempat yang kita boleh periksa dan bersihkan (takungan air) dan di tempat yang sukar dicapai, pasti boleh menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes.
“Sehubungan itu, masyarakat haruslah mengambil langkah pencegahan yang digariskan oleh Kementerian Kesihatan agar tidak menjadi mangsa demam denggi,” katanya.
Berdasarkan laporan dikeluarkan pada Minggu Epidemiologi ke-16 (ME16), iaitu bagi tempoh 14 hingga 20 April lalu, kes demam denggi dilaporkan meningkat kepada 2,321 kes berbanding 1,698 kes pada minggu sebelumnya dengan empat kematian akibat kompilasi. – UTUSAN










