Penternak kupang, nelayan Pasir Panjang harap khabar gembira

Penternak kupang, nelayan Pasir Panjang harap khabar gembira

MD. Isa Johar (dua dari kanan) menerima bantuan bagi mewakili penternak kupang yang terjejas dari Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) sambil diperhatikan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun pada majlis yang diadakan di Pasir Panjang, Port Dickson, kelmarin-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Sudah lebih sebulan golongan penternak dan nelayan di sekitar kawasan Pasir Panjang di sini tidak dapat mengambil hasil kupang dan kerang yang sebelum ini membantu menambahkan pendapatan mereka.

Ini berikutan pada 4 April lalu, Jabatan Perikanan mengesahkan kupang di perairan di sini telah dicemari oleh biotoksin berbahaya dan tidak selamat untuk dimakan.

Susulan itu, Jabatan Perikanan meminta orang ramai tidak mengambil kerang-kerangan seperti kupang dari perairan ini dan golongan nelayan serta penternak juga tidak dibenarkan menaikkan hasil makanan laut itu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Selepas tujuh kali analisis makmal dilakukan terhadap sampel kupang, hasilnya masih mendapati jumlah biotoksin pada kupang masih melebihi had pengambilan selamat untuk manusia iaitu 800 bahagian per bilion (ppb).

Sehubungan itu, golongan nelayan dan penternak di situ berharap keputusan analisis dari sampel kelapan yang akan diketahui hari ini (18 Mei) akan memberikan khabar gembira buat mereka.

Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Telok Kemang, Md. Isa Johar berkata, tempoh lebih sebulan ketika ini sudah dirasakan cukup lama buat mereka yang hilang pendapatan.

“Memang lama, kejadian ini tidak berlaku sebelum ini jadi apabila berlaku sebelum ini memang ramai yang terjejas terutama untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini, memang ramai yang mengeluh.

“Saya harap ia tidak lebih lama lagi dan bulan depan hasil kupang serta kerang dapat dikeluarkan semula, kita tunggu keputusan makmal pada 18 Mei ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di Pasir Panjang, di sini.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah Perikanan (Pengurusan), Jabatan Perikanan, Wan Muhammad Aznan Abdullah memberitahu, jika keputusannya analisis makmal terhadap sampel kelapan yang diambil pada 14 Mei lalu menunjukkan indikator turun bawah 800 ppb pihaknya dijangka membuka kembali kebenaran untuk pengambilan kupang pada awal atau pertengahan bulan hadapan.

“Jika menunjukkan penurunan pada 18 Mei ini kami akan terlebih dahulu memberikan tempoh selama dua minggu untuk beberapa analisis dilakukan lagi sebelum kebenaran diberikan.

“Sebelum ini setiap kali kami mengambil sampel, keputusan analisis menunjukkan penurunan, jadi saya berharap keputusan kali ini terus menunjukkan penurunan sehingga di bawah 800 ppb,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini