Penduduk Pos Pulat siap sedia berpindah beri laluan pembinaan Empangan Nenggiri

Penduduk Pos Pulat siap sedia berpindah beri laluan pembinaan Empangan Nenggiri

ZARINA Razlan (dua dari kanan) menyantuni masyarakat Orang Asli di Pos Pulat, Gua Musang, Kelantan hari ini.UTUSAN/AIMUNI TUAN LAH.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Lebih 1,000 penduduk Orang Asli di Pos Pulat dan Pos Tohoi di sini bersedia untuk berpindah bagi memberi laluan kepada projek pembinaan Empangan Hidroelektrik Nenggiri.

Setiausaha Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung Orang Asli (JPKKOA) Pos Pulat, Mazlan Mohamad berkata, penduduk di penempatan terbabit telah sedia maklum tentang projek tersebut dan 90 peratus daripadanya telah bersetuju dengan pelaksanaan projek berkenaan. 

Menurutnya, kerja pembinaan ketika ini sedang giat berjalan termasuk menyediakan kampung baharu untuk Orang Asli yang terlibat.

“Kerajaan memberi jaminan akan membina penempatan semula Orang Asli termasuk kemudahan asas seperti rumah, sekolah dan ladang getah.

“Sebahagian besar merangkumi 90 peratus penduduk bersetuju untuk berpindah ke penempatan baharu dan mereka ingin mendapat kemudahan yang lebih baik berbanding kampung asal,” katanya selepas Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri di Pos Pulat di sini hari ini yang turut Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) Kelantan dan Terengganu, Zarina Razlan. 

Sementara itu, Pengerusi JPKKOA Pos Tohoi, Jenny Adik berkata, lebih 200 keluarga di Pos Tohoi yang terlibat sudah bersedia untuk berpindah dan menunggu arahan selanjutnya daripada pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Katanya, penduduk Orang Asli Pos Tohoi akan dipindahkan ke penempatan baharu yang lebih selesa di Kuala Yai sebelum Projek Hidroelektrik Nenggiri beroperasi.

“Kami berharap kampung baharu dengan infrastruktur yang lengkap dapat disiapkan segera.

“Kami bukan sahaja berkorban nyawa malah sanggup meninggalkan penempatan yang kami diami sejak turun temurun. Penduduk kampung berharap kerajaan dapat menyediakan kemudahan lebih baik seperti jalan tar, kemudahan elektrik, bekalan air, tanah kebun dan sekolah,” katanya.

Media sebelum ini, melaporkan Projek Hidroelektrik Nenggiri yang menelan belanja sebanyak RM5 bilion bakal memberi manfaat besar terhadap pembangunan negeri Kelantan.

Projek yang dijangka siap pada 2026 itu juga akan membentuk Tasik Takungan Utama seluas 53.84 kilometer persegi dan Kolam Pengaturan Aliran seluas 0.97 kilometer persegi.

Selain itu, empangan terbabit akan menjadi tebatan banjir kepada penduduk yang berada di hilir sungai.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN