KANGAR: Kira-kira 6,789 pesawah di kawasan seluas 10,147 hektar di luar Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) di negeri berdepan penyusutan hasil sehingga dua tan metrik per hektar atau langsung tidak dapat mengusahakan tanaman padi musim ini ekoran cuaca panas berikutan fenomena El Nino.
Malah, jika situasi tersebut berlaku, kerajaan negeri tidak menolak kemungkinan kawasan berkenaan akan beralih kepada tanaman kenaf bagi menggantikan padi pada musim panas ini.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian negeri, Razali Saad berkata, pesawah di luar kawasan MADA sememangnya bergantung kepada taburan hujan sepenuhnya untuk proses pengairan bagi mengusahakan tanaman.
Malah katanya, hasil pemerhatian khususnya di kawasan Padang Melangit berkemungkinan mereka tidak dapat mengusahakan tanaman sekiranya cuaca panas ini berterusan.
“Kawasan luar MADA ini tak nafi bergantung sepenuhnya pada hujan selain hasil juga boleh susut sehingga dua tan metrik per hektar ekoran cuaca panas ini. Ketika ini, taburan hujan terlalu sedikit yang menyukarkan proses untuk memulakan tanaman musim ini.
“Sekiranya benda ini betul-betul berlaku, kita mungkin beralih kepada tanaman kenaf memandangkan kenaf perlu persekitaran kering,” katanya.
Februari lalu, Utusan Malaysia melaporkan, hasil padi membabitkan 15,960 pesawah di Perlis dijangka merosot sehingga 50 peratus berikutan El Nino yang mengakibatkan cuaca panas dan kering.
Pesawah menjangkakan hasil musim ini boleh terjejas teruk dengan anggaran dua ke tiga tan metrik per hektar sahaja mampu dihasilkan berbanding kelaziman lima tan metrik. – UTUSAN











